KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mencatatkan peningkatan tiga tahun berturut-turut bagi penabungan melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).
Pengerusinya, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata jumlah keseluruhan deposit SSPN terkumpul sehingga 31 Disember tahun lalu adalah sebanyak RM7.88 bilion.
Katanya, jumlah deposit SSPN bagi tahun lalu menunjukkan pola peningkatan ketara yang dicatatkan sejak tahun 2018.
“Tahun lalu, jumlah deposit adalah sebanyak RM1.99 bilion iaitu peningkatan 54.58 peratus berbanding RM1.37 bilion (2019) manakala bagi tahun 2018, jumlah deposit SSPN adalah sebanyak RM1.14 bilion.
“Bagi prestasi pembukaan akaun baharu SSPN pula, sebanyak 436,101 akaun dibuka pada tahun 2020 berbanding sasaran tahunan sebanyak 400,000 akaun. Pencapaian ini adalah 109.03 peratus berbanding sasaran tahunan.
“Secara keseluruhan, sehingga 31 Disember 2020 sebanyak 4.82 juta akaun SSPN dibuka sejak instrumen simpanan ini diperkenalkan pada tahun 2004,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Wan Saiful berkata, keuntungan pelaburan terkumpul juga menunjukkan kenaikan bagi tahun 2020 kepada RM237.42 juta.
Prestasi itu, katanya, menunjukkan peningkatan sebanyak 15.7 peratus berbanding RM205.28 juta pada tahun sebelumnya.
“Ketika saya mengambil alih sebagai Pengerusi pada 18 Jun 2018, antara penekanan saya ialah untuk mengurangkan bebanan kewangan anak muda.
“Saya sedar ia tidak boleh terhasil serta-merta tetapi memerlukan usaha jangka panjang untuk memupuk budaya menabung dalam hati masyarakat.
“Pada tahun 2017, jumlah terimaan deposit hanya RM726.84 juta. Syukur dalam masa kurang sedikit tiga tahun saya di PTPTN, kita berjaya meningkatkan jumlah deposit SSPN sebanyak hampir tiga kali ganda berbanding 2017 dan keuntungan juga meningkat setiap tahun,” katanya.
Beliau berkata, PTPTN juga memperbanyakkan saluran transaksi dalam talian bagi memudahkan masyarakat menyimpan dalam SSPN.
“Penerimaan masyarakat semakin baik dan ia dapat dilihat jelas apabila sebanyak 66.39 peratus daripada jumlah deposit simpanan kini adalah melalui transaksi secara online berbanding melalui transaksi di kaunter,” katanya.
-BH