PruBSN perkukuh nilai Ta’awun, tingkat kesedaran takaful

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA: Prudential BSN Takaful Bhd (PruBSN) membuktikan komitmennya terhadap masyarakat melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bertemakan Ukhuwah Berkawah sempena Ramadan dan Aidilfitri pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN dan Presiden PruBSN Prihatin, Wan Saifulrizal Wan Ismail, berkata tahun ini adalah tahun kedua PruBSN menganjurkan program Ta’awun Ramadan, sebuah program yang sarat dengan pelbagi pengisian kerohanian, kebajikan dan kelestarian.

Katanya, program Ta’awun Ramadan mengambil inspirasi daripada prinsip Ta’awun atau pertolongan bersama yang menjadi teras kepada operasi dan perniagaan takaful.

“Ta’awun dalam konteks takaful merujuk kepada konsep saling membantu yang membabitkan kerjasama antara peserta untuk menghadapi risiko dan musibah yang mana, setiap peserta menyumbang ke dalam dana bersama dipanggil dana Tabarru dengan niat untuk membantu peserta lain yang mengalami kesusahan.

“Ketika ini, hanya kira-kira 42 peratus rakyat Malaysia mempunyai perlindungan insurans atau takaful manakala selebihnya tidak mempunyai sebarang bentuk perlindungan. Antara puncanya adalah, kurangnya pengetahuan mengenai takaful.

“Jadi, bersempena dengan bulan mulia ini, PruBSN mengambil pendekatan proaktif untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat melalui program Ta’awun Ramadan mengenai nilai sebenar di sebalik takaful ataupun ‘the beauty of takaful’ yang bukan hanya terletak pada manfaat perlindungan kehidupan semata-mata,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama media di sini.

Sebagai sebahagian daripada program Ta’awun Ramadan, Wan Saifulrizal berkata PruBSN turut melaksanakan aktiviti bersama komuniti dan sukarelawan dengan pembabitan 600 perunding Takaful dan kakitangan PruBSN yang turun padang sebagai sukarelawan untuk memasak dan mengedarkan juadah kepada komuniti setempat.

Beliau berkata, sebanyak 10,000 pek bubur lambuk dan gulai kawah telah diedarkan di beberapa negeri termasuk Pulau Pinang, Terengganu, Kuala Lumpur, Johor, Sabah dan Sarawak.

“Ramadan tahun ini membawa makna yang istimewa buat kami apabila badan amal, PruBSN Prihatin meraikan ulang tahun yang ke-10.

“Sejak penubuhannya, PruBSN Prihatin telah menyumbang semula kepada masyarakat melalui pelaburan komuniti lebih daripada RM28 juta bagi menyantuni lebih 200,000 individu yang memerlukan,” katanya.

Antara inisiatif utama termasuk PruBSN Microtakaful Jariyah (PruBSN MTJ), yang menyediakan perlindungan takaful percuma kepada ketua isi rumah daripada golongan miskin dan miskin tegar.

Sehingga kini, seramai 182,000 individu menerima manfaat ini, dengan sasaran tambahan 42,300 penerima baharu bagi tahun 2025.

PruBSN turut komited dalam memperkasakan literasi kewangan dalam kalangan pelajar melalui Program Bijak Belajar dan Program Celik Kewangan.

Sehingga kini, lebih 2,000 pelajar di 31 sekolah menerima pendedahan mengenai pengurusan kewangan asas untuk membina daya tahan kewangan dari usia muda.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5464