PRU15: ‘Syor pengeluaran KWSP tidak jujur, peralat duit rakyat’

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 14 Nov 2022 (The Capital Post): Barisan Nasional (BN) tidak akan menawarkan satu lagi pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana tidak tergamak memancing undi dengan memperalatkan wang rakyat.

-Advertisement-

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata BN menyifatkan sangat tidak jujur memperalatkan wang simpanan rakyat sebagai modal dan perkakas untuk memikat undi.

Katanya, BN sebaliknya tampil dengan tawaran jauh lebih rasional serta berkesan untuk membantu rakyat.

Satu lagi pengeluaran KWSP hanya bersifat ‘one-off’.

“Jika ada keperluan untuk satu lagi pengeluaran KWSP di masa depan perlulah atas sebab yang jujur,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO mengakui sebelum ini pernah mendesak pengeluaran KWSP tetapi ketika rakyat terdesak

“Ya memang benar bahawa BN pernah mendesak rakyat dibenar mengeluarkan wang KWSP sebelum ini namun ia adalah pada waktu mendesak.

“Sewaktu rakyat hilang pekerjaan dan sumber pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang paling lama dalam dunia oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Ketika rakyat terpaksa mengangkat `bendera putih’ akibat pentadbiran gagal Perdana Menteri ‘Abah’ 17 bulan,” katanya.

Ahmad Zahid menegaskan BN menerusi Pelan Amal dan Usaha (PADU) menawarkan skim Bantuan Pendapatan Asas atau “Assistive Basic Income.”

“Bantuan itu bersifat jangka masa panjang berbanding pemberian satu lagi pengeluaran ‘one-off’ KWSP.

-Advertisement-

“Menerusi skim itu kerajaan BN akan mengkreditkan kepada isi rumah yang pendapatan bawah RM2,208,” katanya

Beliau menjelaskan sebagai contoh keluarga dengan pendapatan minimum RM1,500 diberi tambah nilai bulanan oleh kerajaan BN.

“Tambah nilai RM708 sebulan supaya setiap isi rumah mempunyai pendapatan sekurang-kurangnya RM2,208 sebulan.

“Ini bermakna insiden kemiskinan mutlak hanya akan tinggal sejarah di Malaysia selepas PRU15,” katanya.

Beliau menjelaskan skim bantuan pendapatan asas itu suatu langkah yang menyeluruh dan strategik untuk membasmi kemiskinan mutlak.

“Ia juga langkah yang progresif oleh BN untuk bantu rakyat tatkala dunia diramal berdepan kemelesetan global,” katanya.

Sebelum ini PN bersedia melaksanakan penilaian semula pengeluaran KWSP secara bersasar, jika berjaya membentuk kerajaan seusai PRU15.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyuarakan kesediaan itu biarpun perkara itu tidak termaktub dalam manifesto gabungan berkenaan.

-BH

(The Capital Post)


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427