KOTA BHARU, 20 Okt 2022 (The Capital Post): Pakatan Harapan (PH) akan bertanding di semua 14 kerusi Parlimen di Kelantan, khususnya bagi menentang Barisan Nasional (BN) serta Perikatan Nasional (PN) meliputi PAS, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Pengerusi PH negeri, Muhammad Hussin, berkata pucuk pimpinan parti sudah memuktamadkan agihan kerusi calon dalam gabungan itu, dan akan mengumumkan perkara itu tidak lama lagi.
“Apa yang pasti, kita akan bertanding di semua kerusi Parlimen di Kelantan. Malah jika Kerajaan Kelantan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam masa terdekat, kita juga sudah mempersiapkan calon untuk bertanding di kerusi DUN.
“Setakat ini, senarai calon sudah dimuktamadkan dan akan diumumkan dalam masa terdekat. Kita akan menampilkan calon dari pelbagai latar belakang yang mampu menarik sokongan pengundi,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Ditanya mengenai potensi PH di Kelantan pada PRU-15, Muhammad berkata, peluang kali ini dilihat lebih cerah berbanding PRU sebelum ini.
“Saya merasakan PH mempunyai peluang untuk memenangi kerusi sama ada Parlimen mahupun DUN pada PRU kali ini. Ini berdasarkan pemerhatian PH yang melihat rakyat marah kepada kerajaan negeri atas pelbagai isu yang gagal diselesaikan.
“Pada masa sama, rakyat juga tidak akan memilih BN kerana isu yang berlaku pada peringkat tertinggi parti. Justeru, pengundi berkemungkinan akan memilih PH.
“Situasi yang berlaku antara PAS dengan UMNO juga memberi kelebihan kepada PH, dan kita berharap ia dapat diterjemahkan pada PRU nanti,” katanya.
-BH
(The Capital Post)