GEORGETOWN: Projek Pulau Pinang Selatan (PSI), yang membabitkan penambakan laut secara besar-besaran di Pulau Pinang, akhirnya mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata kelulusan EIA itu diperoleh, dengan 71 syarat yang perlu dipenuhi.
“Kami menerima surat bertarikh 11 April daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Putrajaya berhubung kelulusan itu. Namun, masih terdapat beberapa proses yang perlu dilalui.
“Justeru, kerja penambakan hanya akan dimulakan pada suku ketiga tahun ini,” katanya pada sidang media di Bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), hari ini.
Projek kontroversi itu melalui proses komprehensif berhubung laporan EIA yang diluluskan pada 25 Jun 2019, tetapi terdapat rayuan sehingga keputusan itu dibatalkan. Laporan baharu diserahkan pada 29 April 2022.
PSI membabitkan pembangunan tiga pulau buatan, dengan keluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut, dekat Bayan Lepas.
Projek itu mendapat bantahan daripada komuniti nelayan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar di Pulau Pinang kerana didakwa akan merosakkan ekosistem marin di kawasan itu.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, kelulusan diberikan untuk pembinaan tiga pulau, yang ketika ini dinamakan sebagai A, B dan C.
Beliau berkata, pembinaan akan dimulakan di pulau A, berkeluasan 283 hektar, yang dijangka mengambil masa selama sembilan tahun untuk disiapkan.
Beliau berkata, laporan EIA yang diluluskan itu akan dimuat naik dalam laman sesawang Penang Infrastructure Corporation, untuk bacaan umum. – Berita Harian