TELUK INTAN, 19 Mac — Kementerian Pendidikan sedang memberi penekanan khusus dan menambah baik program pertanian di Kolej Vokasional (KV) berikutan penyertaan pelajar dalam program berkenaan masih rendah di seluruh negara.
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata pada tahun ini sebanyak 2,025 pelajar sedang mengikuti program pertanian di lima KV iaitu di Pasir Puteh, Kelantan; Dato’ Lela Maharaja, Negeri Sembilan; Teluk Intan, Perak; Chenor, Pahang dan Lahad Datu, Sabah dan angka itu lebih rendah daripada kapasiti sebenarnya.
Katanya, sebuah lagi KV di Pagoh, Johor, akan dibuka untuk pengambilan baharu dalam program berkenaan pada tahun ini.
“Sebab itu di peringkat kementerian kita memberi penekanan khusus kerana bidang pertanian ini adalah satu industri besar untuk diterokai dengan penggunaan teknologi sekali gus dapat (mewujudkan) kepakaran yang diperlukan dalam industri.
“Kita sedang dalam siri melawat beberapa KV pertanian untuk ditambah baik bagi pastikan ibu bapa melihat KV ini sebagai satu ruang untuk mereka hantar anak dalam bidang pertanian tetapi dalam konteks yang jauh berbeza yang mengambil kira teknologi terkini.
“Kita sedang melihat satu persatu apakah bidang kekuatan mereka seperti di KV Chenor lebih kepada Akuakultur; di KV Pasir Puteh, lebih kepada (Agroindustri) Ruminan, kita nak tengok bagaimanakah kita boleh tambah baik penawaran yang diberikan,” katanya selepas melakukan lawatan kerja ke KV (Pertanian) Teluk Intan, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, mengulas mengenai persepsi ibu bapa yang masih kurang berkeyakinan memasukkan anak mereka ke KV, Radzi berkata perkara itu tidak sewajarnya berlaku kerana ada pelajar KV yang berjaya mendapat pekerjaan seperti KV Teluk Intan yang 100 peratus pelajarnya diambil bekerja atau bekerja sendiri selepas tamat pengajian.
Beliau berkata pihaknya sentiasa berusaha untuk memastikan pelajar KV memperoleh pendidikan seiring dengan perkembangan teknologi terkini bagi memastikan kesemua pelajar dapat dibiasakan dengan teknologi baharu terutama ketika menempuh industri kerja kelak.
“Kita sedar bahawa masih ada ibu bapa yang merasakan peluang yang diberikan di KV mungkin tidak menjanjikan masa depan yang baik hakikatnya, kita lihat data anak-anak ini diperlukan di luar sana dalam konteks industri dan ramai yang jadi usahawan,” tambahnya. -BERNAMA