Program lebih tersusun hadapi Sukan Asia – Ahmad Jais

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Pasukan sepak takraw negara tidak akan berputus asa dalam mencari formula bagi menumbangkan musuh tradisi Thailand.

-Advertisement-

Skuad bimbingan Ahmad Jais Baharun dua kali terpaksa berpuas hati muncul naib juara di belakang Thailand ketika saingan Piala Raja Thai ke-36 yang berakhir, semalam apabila tewas dalam kedua-dua aksi final bagi saingan antara regu dan berpasukan.

Justeru, Ahmad Jais berkata persiapan yang lebih rapi akan dilakukan selepas ini bagi menangani cabaran Thailand termasuklah kemungkinan bertemu sekali lagi di Sukan Asia Hangzhou, September depan.

“Bagi saya secara keseluruhan prestasi pasukan lelaki sederhana baik. Saya kena akui perbandingan prestasi antara Malaysia dengan Thailand memang terdapat sedikit jurang perbezaan.

“Jadi, kita perlu bersiap sedia lebih awal selepas ini dengan persiapan yang lebih rapi untuk ke Sukan Asia. Kita juga perlu lebih konsisten dalam segala aspek permainan bagi mengimbangi kekuatan Thailand.

-Advertisement-

“Kita sudah ingatkan semua pemain supaya lebih bersiap sedia bagi program seterusnya untuk kita mantapkan lagi pasukan kebangsaan sebagai persiapan ke Sukan Asia,” katanya.

Menurut Ahmad Jais, beberapa program sudah disusun sebagai persiapan pasukan menghadapi temasya di Hangzhou.

“Untuk program selepas ini kita akan menitik beratkan dari segi latihan fizikal dan mental untuk mantapkan pasukan. Saya harapkan semua pemain akan beri komitmen terbaik,” katanya.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427