‘Program baharu ganti PLKN, BTN perlu angkat kepelbagaian bangsa’

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Program baharu yang bakal menggantikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tatanegara (BTN), perlu mengetengahkan aspek kepelbagaian bangsa bagi mengatasi isu perpaduan di negara ini.

Bekas Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata modul dan pengisian program itu juga perlu menjurus kepada kenegaraan, jati diri dan kerja kesukarelawanan.

Beliau juga berpandangan program baharu itu, yang bermatlamat menyemai semangat patriotisme dalam kalangan rakyat, masih perlu berkonsep dan mengadaptasi disiplin ketenteraan, seperti dilaksanakan PLKN.

“Program baharu perlu angkat kepelbagaian kaum, kerana semua kaum di Malaysia perlu sayang pada negara, bukan kaum tertentu saja.

“Apa juga nama program ini, modul dan pengisiannya mesti menjurus kepada perasaan sayang pada negara, jati diri supaya rakyat cekap, dan membudayakan kerja kesukarelawanan.

“Saya juga masih berpendapat kalau nak terapkan disiplin, kaedah terbaik masih disiplin ketenteraan. Singapura juga mengambil 100 peratus disiplin tentera dalam pelaksanaan program khidmat negaranya,” katanya kepada BH.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof memaklumkan kerajaan akan memperkenal program baharu bertujuan menyemai semangat patriotisme dalam diri rakyat, bagi menggantikan PLKN dan BTN, yang dimansuhkan kerajaan terdahulu.

Mohd Redzuan berkata, struktur baharu program berkenaan sedang dimuktamadkan, dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri tidak lama lagi.

Abdul Hadi berkata, langkah mewujudkan program baharu itu tepat kerana setiap negara perlukan program khas bagi menyemai dan meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyatnya.

“Contohnya Singapura sendiri laksanakan program seumpamanya sejak 1964. Apabila Malaysia mansuhkan PLKN dan BTN, maka wujud kelompangan dalam usaha untuk tujuan itu.

“Kesan dan hasil pembangunan modal insan tidak boleh dilihat serta merta dan diukur secara fizikal atau kuantitatif. Kesannya tidak berlaku segera, sebaliknya mungkin dalam tempoh 10 hingga 30 tahun akan datang,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi bersetuju bahawa program baharu itu perlu mewajibkan penyertaan golongan sasar kerana jumlah mereka yang akan menyertainya secara sukarela terlalu sedikit.

“Untuk semai perasaan sayang pada negara, kita perlu paksa pada peringkat awal sebelum disusuli didikan. Kerajaan masih boleh guna Akta Latihan Khidmat Negara 2003 untuk program baharu ini, dengan meminda mana-mana perkara yang tidak dipersetujui,” katanya.

Meskipun mahu kerajaan mewajibkan penyertaan dalam program itu, Abdul Hadi berpandangan, jumlah mereka yang menyertainya boleh dikecilkan pada peringkat awal memandangkan kerajaan kini berdepan kekangan kewangan.

“Sebelum ini, jumlah pelatih PLKN adalah sekitar 85,000 setahun. Untuk program baharu, kecilkan dahulu jumlah itu kerana kita kena lihat juga kemampuan kerajaan yang berdepan masalah ekonomi kesan COVID-19.

“Tempoh program juga boleh dikurangkan untuk jimatkan perbelanjaan, dan bila lebih berkemampuan, jumlah dan tempoh itu boleh ditambah,” katanya.

-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5464