SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) akan memastikan tiada pertembungan dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), di enam negeri akan datang.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pembahagian kerusi di antara kedua-dua gabungan itu akan kekal seperti PRN ke-14.
Katanya, agihan itu berpandukan keputusan pilihan raya 2018, iaitu mana-mana kerusi yang dimenangi satu parti, kerusi berkenaan akan ditandingi sekali lagi oleh parti yang terbabit.
“Sebagai contoh di Negeri Sembilan. Jika kerusi itu milik UMNO pada 2018, maka UMNO akan bertanding di kerusi berkenaan dan begitu juga jika kerusi itu ditandingi DAP, AMANAH atau PKR, maka milik kami.
“Proses rundingan di peringkat pusat sudah menetapkan (pembahagian kerusi itu), namun di peringkat negeri boleh terus berunding dan mana-mana pihak boleh menyenaraikan senarai mereka.
“Mana-mana yang mereka bersetuju, kita akan bersetuju dan mana-mana yang tidak bersetuju, negeri akan mengangkatnya di peringkat pusat untuk kita muktamadkan,” katanya di sini, hari ini.
Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, perkara membabitkan pembahagian kerusi PRN antara PH dan BN ini akan dimuktamadkan secepat mungkin, bagi membolehkan persiapan lanjut menghadapi PRN dilaksanakan.
“Soal tuntutan kerusi itu adalah proses biasa dalam mana-mana rundingan membabitkan kerusi pilihan raya,” katanya.
Sebelum ini, BN Negeri Sembilan menyuarakan hasrat untuk mendapatkan dua kerusi tambahan, berbanding 16 kerusi yang dimenangi gabungan itu pada 2018.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan mengandungi 36 kerusi dengan 20 dikuasai PH, manakala 16 kerusi dikuasai BN. – Berita Harian