PRN permulaan perjalanan naratif politik baharu negara

Estimate Reading Time: 3 minutes

BERMULANYA tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) kelmarin bermakna gelanggang persaingan bagi merebut 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu terbuka kepada parti dan calon disahkan layak bertanding.

-Advertisement-

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan 570 calon layak bertanding membabitkan 168 calon daripada Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) seramai 137 calon, Barisan Nasional (BN) 108 calon dan PAS seramai 77 calon.

Seramai 13 calon bertanding atas tiket Parti Rakyat Malaysia (PRM), 19 calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), empat calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), dua calon Penang Front Party (PFP), seorang calon Parti Utama Rakyat (PUR) dan 41 orang bertanding sebagai calon Bebas.

Seramai 501 calon bertanding pada PRN dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu adalah golongan lelaki, manakala 71 calon adalah wanita.

Mengikut kefahaman umum, pilihan raya adalah untuk memilih calon mewakili parti tertentu untuk menjadi wakil rakyat, seterusnya membentuk kerajaan selepas mendapat mandat pengundi.

Namun, pilihan raya kali ini dianggap luar biasa kerana membabitkan calon daripada parti yang sebelum ini pernah menjadi lawan, tetapi kini sudah menjadi kawan dan juga parti pernah menjadi sahabat, tetapi bertukar menjadi seteru.

PRN nanti menjadi pentas pertama dalam sejarah PH dan BN menjadi rakan sekutu dalam satu blok parti mewakili Kerajaan Perpaduan pada peringkat Pusat menentang PN yang menjadi pembangkang, tetapi berkuasa sebagai kerajaan negeri di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Pentas PRN akhirnya menyatukan PH dan BN kerana kedua-dua gabungan parti ini berseteru sejak zaman Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR) wujud lewat 1990-an sehinggalah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), November 2022.

Jika pada PRU15, berlaku pertembungan tiga penjuru blok parti iaitu BN, PH dan PN, tetapi pada PRN kali ini PH dan BN bersama-sama menentang PN. Tiada siapa pernah menyangka BN dan PH mampu menjadi ‘kawan’, tetapi itulah realiti politik Malaysia hari ini.

-Advertisement-

Sebelum ini, UMNO sebagai komponen utama BN pernah menjalin kerjasama politik bersama PAS menerusi platform Muafakat Nasional (MN) untuk mengocak kerajaan PH pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, tetapi hari ini PAS bekerjasama dengan BERSATU, yang juga bekas komponen PH untuk menentang blok Kerajaan Perpaduan.

Ini menunjukkan betapa dinamiknya arus politik Malaysia ini, sekali gus mengukuhkan teori ‘tiada musuh atau rakan abadi dalam politik’. Benarlah seperti apa yang dilaungkan pemimpin BN dan PH ketika Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan – ‘dulu lawan, sekarang kawan’.

Jambatan baharu politik negara

Seperkara yang mungkin tidak disedari ramai, PRN kali ini adalah jambatan baharu menghubungkan Malaysia dan rakyatnya ke arah amalan politik matang dan sejahtera tanpa mengorbankan ideologi perjuangan setiap parti.

Jika sebelum ini khasnya sebelum PRU15, politik Malaysia didominasi dan diwarnai dengan politik perkauman serta kepentingan agama, tetapi PRN kali ini melunturkan terus stigma terbabit.

Sejarah politik tanah air yang tertanam dalam minda rakyat, terutama bagi generasi warga emas dan lewat 40-an, apa yang mereka tahu adalah majoriti parti bergerak di atas landasan kepentingan kaum. Ia sekali gus mewujudkan persaingan politik, perebutan kuasa serta kecenderungan untuk menonjol sebagai parti lebih berwibawa mewakili kaum tertentu.

Akan tetapi, generasi ini jugalah sedang melihat bahkan melalui proses transformasi dan evolusi pendekatan daripada amalan politik dimensi sempit, ke arah politik baharu melangkaui batas kaum dan agama yang tebal serta melekat sebelum ini.

Ternyata, keputusan PRU15 memiliki hikmah tersendiri apabila terbentuknya Kerajaan Perpaduan menerusi parti campuran PH, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama parti kecil lain serta Ahli Parlimen Bebas, kini PRN menjadi langkah pemula ke arah mewujudkan amalan politik lebih sihat, bebas dan tidak jumud mengikut ideologi kepartian.

Jika tidak kerana keputusan PRU15, tidak mungkin Malaysia akan dapat menyaksikan parti berseteru berdekad lamanya kini mampu bersama menjadi kerajaan dan mentadbir bersama secara berkompromi. Akan tetapi itulah takdir sejarah politik Malaysia pada hari ini.

Generasi warga emas hari ini yang menjalani kehidupan dewasa sehingga tua mereka dengan pimpinan kerajaan ala BN mungkin masih sukar untuk menerima hakikat ini, tetapi mereka tidak mempunyai pilihan melainkan perlu mengikut arus.

Walaupun rakyat terutama ahli akar umbi masih kekok dengan kewujudan kerjasama silang antara parti membentuk Kerajaan Perpaduan, secara ‘pelan-pelan’ mereka terpaksa akur dengan spektrum politik baharu ini.

Maka, pandai-pandailah pucuk pimpinan parti hari ini – PH dan BN meyakinkan ahli akar umbi untuk menerima reformasi politik ini. Begitu juga di pihak PN kerana arus perubahan amalan politik lama semakin ditinggalkan. Generasi hari ini lebih mesra dengan naratif politik moden ini.

Ternyata, keputusan PRU15 akhirnya mengubah naratif politik negara. Isu agama dan kaum tidak selamanya mampu menjadi pertaruhan parti untuk merebut dan mempertahankan kuasa. Rakyat turut mula sedar serta memahami mempermainkan isu Raja, agama dan kaum (3R) bukan lagi amalan sihat untuk meraih kuasa.

Sebaliknya amalan politik matang, bebas daripada pemikiran sempit, adil dan integriti semakin kuat mencengkam pemikiran rakyat pasca PRU15. Generasi hari ini dan akan datang mahukan parti mana pun memerintah, mentadbir secara inklusif, bersih dan integriti tanpa mengabaikan kebajikan hidup mereka. PRN kali ini menjadi penanda garisan permulaannya.

Penulis adalah Penolong Pengarang Berita BH

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427