PRK Tanjung Piai menyerlahkan sisi pelancongan ternakan ikan dalam sangkar

Estimate Reading Time: 3 minutes

PONTIAN- Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai nampaknya tidak hanya menyerlahkan sisi calon-calon yang bertanding sahaja.

-Advertisement-

Ia turut membuka peluang kepada orang ramai termasuk petugas media dari luar daerah Pontian untuk mengenali lebih dekat tempat-tempat pelancongan yang menarik di kawasan berkenaan, yang lebih dikenali dengan Taman Negara Tanjung Piai yang merupakan penghujung Tanah Besar Asia.

Antaranya Kampung Air Masin di Kukup yang terkenal bukan hanya kerana produk hiliran laut nelayannya seperti belacan, keropok dan cencaluk, malah industri ternakan ikan sangkar yang diusahakan kira-kira 70 penternak sejak 20 tahun lepas.

Kini, fokus penternak tidak sekadar tertumpu kepada ternakan ikan semata-mata yang selama ini mereka menjualnya ke pasaran tempatan atau dieksport ke Singapura tetapi juga aspek pelancongan.

Tan Chee Wei atau nama popularnya Albert Tan, 38, dan beberapa rakan penternak lain turut didapati agresif menjalankan agropelancongan sejak dua tahun lalu dengan menawarkan peluang kepada pelancong untuk melihat sendiri cara penternakan ikan dalam sangkar.

Katanya idea itu timbul sebaik menyedari ramai pelancong terutama dari Singapura gemar berkunjung ke Kukup saban minggu untuk membeli bekalan ikan segar ataupun untuk aktiviti memancing.

“Apabila memancing, mereka akan tidur beberapa hari di chalet yang berdekatan. Jadi kami mula berfikir mengapa tidak kesempatan (peluang) ini dimanfaatkan untuk menawarkan sedikit kelainan berbentuk aktiviti pelancongan,” katanya kepada Bernama di kelong ternakan ikan sangkarnya, baru-baru ini.

Tan berkata pada peringkat permulaan, beliau dan rakan-rakan tidak mengenakan sebarang caj kepada pelancong untuk melawat ke kelong ternakan ikan mereka kerana berniat hanya membantu kerajaan menarik kedatangan pelancong ke Kukup.

“Tetapi disebabkan terlalu banyak insiden yang mana kayu kelong sangkar kami patah akibat terpaksa menanggung bebanan yang berat daripada kedatangan pengunjung yang ramai pada satu-satu masa maka kami banyak mengeluarkan duit belanja untuk penyelenggaraan kayu kelong yang baharu.

-Advertisement-

“Satu kayu kelong itu berharga kira-kira RM380, jadi terbebanlah sedikit. Oleh itu sejak awal tahun ini, saya dan rakan mula mengenakan caj sebanyak RM2 ke atas setiap pelancong yang berkunjung. Duit caj itu kemudiannya pula digunakan untuk kerja penyelenggaraan kelong,” katanya yang mengakui boleh menerima sekurang-kurangnya 2,000 pelawat setiap bulan.

Beliau berkata sesiapa sahaja yang ingin mengunjungi kelong ikan sangkarnya perlu berhubung terlebih dahulu dengan operator bot yang beroperasi bersebelahan Terminal Feri Antarabangsa Kukup.

Tan berkata buat masa ini, kelong miliknya menempatkan 108 sangkar ikan yang dikendalikan oleh dua pekerja dan ikan yang diternaknya pula terdiri daripada jenis bawal emas, jenahak merah, senangin, ikan batman, kitang, kerapu dan siakap, selain beberapa sangkar menternak ketam bunga namun ketam itu hanya untuk keperluan sendiri.

“Untuk pasaran cuma ikan dan dijual dengan harga antara RM35 hingga RM52 sekilogram tetapi yang paling banyak mendapat permintaan ialah ikan kerapu kerana isinya manis. Banyak pengusaha restoran terutama dari Singapura menggemarinya, sebab itu tempahannya ke sana juga tidak kurang lima tan sebulan,” katanya.

Tan berkata beliau merancang untuk memulakan perniagaan sewa bot kepada kaki-kaki pancing di perairan Pulau Kukup, selain meningkatkan kapasiti pengeluaran produk sampingan yang dihasilkannya sendiri umpamanya ikan bilis, cencalok dan belacan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Liow Cai Tung menyifatkan inisiatif seperti dilakukan Tan itu bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri yang mahukan penggiat industri pelancongan bersama-sama memajukan sektor pelancongan, apatah lagi daerah Pontian mempunyai potensi besar dalam sektor eko dan agropelancongan.

“Kegiatan kelong ikan merupakan satu daripada produk pelancongan di Kukup dan dikunjungi oleh orang ramai, termasuk warga Singapura. Saya juga difahamkan kawasan Kukup menjadi tarikan kepada pelancong yang suka menyewa rumah penginapan dan akan mengunjungi kedua-dua taman negara selain menikmati makanan laut yang segar di restoran-restoran sekitarnya.

“Saya telah pun berjumpa dengan pemain-pemain industri pelancongan tempatan dan mencadangkan supaya mereka dapat menawarkan pakej penginapan tiga hari dua malam di kawasan itu bagi merancakkan lagi produk pelancongan negeri,” katanya.- BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427