BEIJING: Dunia memerlukan hubungan China-Amerika Syarikat (AS) yang stabil pada keseluruhannya, kata Presiden China Xi Jinping.
Ketika menerima kunjungan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken pada Isnin, beliau menyatakan sama ada kedua-dua negara mampu menemui cara pergaulan yang tepat berkait rapat dengan masa depan seluruh manusia.
Menurut Xi, masyarakat antarabangsa tidak mahu melihat konflik dan konfrontasi antara China dengan AS ataupun pilih kasih antara kedua-dua negara, sebaliknya berharap dua kuasa besar itu dapat wujud bersama secara aman dan bekerjasama secara muhibah.
Katanya, persaingan antara negara kuasa besar tidak selaras dengan arus sezaman, selain tidak mampu menyelesaikan masalah AS sendiri serta cabaran yang dihadapi dunia.
“China menghormati kepentingan AS dan tidak akan mencabar atau menggantikan AS.
“Sementara itu, AS juga perlu menghormati China dan tidak boleh menjejaskan hak dan kepentingan sah China,” kata Xi.
Beliau turut berharap agar AS dapat mengambil sikap yang rasional dan pragmatik serta berusaha sehaluan dengan China ke arah memantapkan hubungan dua hala.
Xi berkata, kedua-dua pihak perlu kekal komited terhadap konsensus yang dicapai beliau dengan Presiden Joe Biden di Bali, dan menterjemahkan kesepakatan berkenaan dalam bentuk tindakan.
Senada dengan Xi, Blinken berkata, pihaknya komited untuk kembali kepada agenda yang ditetapkan ketika pertemuan pemimpin kedua-dua negara di Bali.
Katanya, AS berpegang kepada komitmen yang dibuat Presiden Biden iaitu tidak akan melancarkan Perang Dingin baharu, tidak akan mengubah sistem China atau menentang China melalui pengukuhan ikatan sekutu, serta tidak menyokong cubaan ‘kemerdekaan Taiwan’ dan tiada niat untuk berkonflik dengan China.
“AS berharap dapat melakukan interaksi peringkat tinggi dan mengekalkan komunikasi dengan China, selain mengendalikan perselisihan secara bertanggungjawab serta menggerakkan dialog, pertukaran dan kerjasama,” kata Blinken.
– BERNAMA
– BH