Premis jual daging perap guna logo halal tanpa kelulusan diserbu

Estimate Reading Time: < 1 minute

KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Tanah Merah melakukan serbuan di sebuah premis menjual daging perap di Jalan Kelewek, di sini, hari ini, kerana menggunakan logo halal tanpa kelulusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

-Advertisement-

Serbuan dilakukan bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) pada jam 11 pagi itu turut menyita semua produk makanan, plastik pembungkusan dan banting yang mempunyai logo halal JAKIM membabitkan nilai lebih RM1,000.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Daerah Tanah Merah, Ahmad Azizi Abdul Kadir, berkata serbuan dilakukan hasil maklumat awam yang meragui penggunaan logo halal tanpa kelulusan itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis ini menggunakan logo halal JAKIM pada bungkusan daging kambing perap bagi produk keluaran mereka yang tidak diperakui halal oleh badan berwibawa iaitu JAKIM.

-Advertisement-

“Premis berkenaan menjual barangan runcit termasuk daging perap yang dibuat sendiri.

“Tindakan diambil kerana ia bertentangan dengan Perenggan 4(1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, Akta Perihal Dagangan 2011 yang menjadi suatu kesalahan di bawah Perenggan 8(b) Perintah sama.

“Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua denda RM250,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. -BERITA HARIAN


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427