PPS SK Sega: Jumlah mangsa banjir kekal 86 orang

Estimate Reading Time: 2 minutes

SEREMBAN, 6 Nov — Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sega Hilir, Rantau di sini kekal 86 orang melibatkan 19 keluarga setakat 9 pagi ini.

-Advertisement-

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan Lt. Kolonel (PA) Fazlisyah Muslim berkata kesemua mangsa dari Kampung Sega Hilir, Kampung Kuala Sawah dan Kampung Pasir masih tidak dibenarkan pulang berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Keadaan ketika ini adalah terkawal dan air di kediaman mangsa telah pun surut selain kerja-kerja pembersihan kediaman sedang dilaksanakan. Kebenaran untuk membenarkan kesemua mangsa pulang hanya dapat diputuskan petang nanti, bergantung kepada keadaan cuaca dan kebenaran Pegawai Daerah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Semalam, PPS Balai Raya Kampung Linggi, Port Dickson yang menempatkan 39 penghuni Kompleks Pengajian Anak Yatim dan Warga Emas Darul Widad ditutup sepenuhnya selepas banjir di kawasan terjejas pulih.

Dalam kejadian banjir pada Rabu (4 Nov), 15 kawasan di Daerah Seremban, Rembau serta Port Dickson terjejas susulan hujan lebat sejak tengah malam, namun air banjir mulai surut di kebanyakan kawasan pada sebelah petangnya.

-Advertisement-

Sementara itu, dalam perkembangan lain, operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dipercayai dihanyutkan arus dalam kejadian banjir di Taman Happy, Rasah, Rabu lepas diteruskan hari ini dengan pencarian tertumpu di kawasan tebing Sungai Linggi dan lombong berhampiran, sejauh 12 kilometer di Kuala Sawah, Rantau.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan Ahmad Mukhlis Mokhtar ketika dihubungi berkata operasi yang memasuki hari ketiga, hari ini bermula pada pukul 8 pagi membabitkan seramai 50 anggota SAR.

“Pencarian dari hari pertama hingga semalam telah meliputi jarak sejauh 40 kilometer di sepanjang Sungai Linggi bermula dari tempat mangsa dilaporkan hilang. Unit anjing pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat yang dilibatkan semalam juga tidak menemui petunjuk positif.

“Hari ini, berkemungkinan hari terakhir operasi SAR dan akan ditangguhkan sementara sekiranya tiada sebarang petunjuk baharu ditemukan termasuk laporan polis mengenai kehilangan mangsa,” katanya.

— BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427