Polis Selangor tingkatkan jumlah SJR

Estimate Reading Time: < 1 minute

Shah Alam: Polis Kontinjen Selangor akan mempertingkatkan jumlah sekatan jalan raya (SJR) di setiap daerah sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini bermula esok sehingga 17 Mei depan.

-Advertisement-

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, ia bertujuan menyekat aktiviti rentas negeri atau daerah terutama menjelang sambutan Aidilfitri.

“Bagi kesemua daerah yang terbabit di bawah PKP, iaitu Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang, pergerakan merentas negeri dan daerah tidak dibenarkan sama sekali kecuali atas urusan kecemasan.

“Pada masa sama, penguatkuasaan SJR di daerah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) membabitkan Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor juga dipertingkatkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

-Advertisement-

Arjunaidi berkata, pihaknya juga akan meningkatkan pemantauan di bazar Aidilfitri, pusat beli-belah dan tempat tumpuan orang ramai bagi memastikan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Sehubungan itu orang ramai dinasihatkan agar terus mematuhi SOP yang ditetapkan dan mengamalkan disiplin kendiri.

“Marilah kita bersama- sama bersatu hati dalam usaha untuk memutuskan rantaian COVID-19 ini,” katanya.-METRO


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427