JOHOR BAHRU: Polis menyelamatkan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dipercayai dilarikan seorang lelaki warga China di Kuantan, Pahang, semalam.
Suspek berusia 22 tahun itu turut ditahan di lokasi sama mangsa diselamatkan.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada bapa mangsa yang juga warga China berusia 48 tahun mengenai anaknya yang tidak hadir ke sekolah di Singapura kelmarin dan dipercayai dilarikan individu tidak dikenali.
“Hasil semakan awal mendapati mangsa dibawa masuk ke Malaysia melalui pintu masuk Woodland, Singapura, Ahad lalu.
“Melalui risikan dijalankan semalam, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor membuat serbuan dan berjaya menyelamatkan mangsa di Kuantan, Pahang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis merampas telefon bimbit, pakaian dan peralatan dipercayai digunakan ketika kejadian untuk siasatan lanjut.
Menurut beliau, mangsa akan dihantar ke hospital untuk pemeriksaan perubatan.
Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 12(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) iaitu amang fizikal ke atas kanak-kanak.
“Kes juga disiasat di bawah Seksyen 48(2) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) iaitu tanpa kebenaran atau alasan sah menyorokkan seorang kanak-kanak.
“Selain itu, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 361 Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu menculik daripada jagaan yang sah di sisi undang-undang,” katanya.
Kumar berkata, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini.
Pada masa sama, Kumar berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau membuat sebarang komen yang boleh mengganggu proses siasatan.
-BeritaHarian