Polis potong bekalan elektrik dua premis degil jual loteri awam haram

Estimate Reading Time: < 1 minute

LUMUT, 22 Okt — Mengaut keuntungan hampir RM2,000 sehari hasil menjadi ejen perjudian loteri awam, dua premis runcit dan kedai tambah nilai telekomunikasi di Sitiawan, dipotong bekalan elektrik dalam operasi bersepadu di Sitiawan petang semalam.

-Advertisement-

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Nor Omar Sappi berkata, kedua-dua premis berkenaan berselindung di sebalik perniagaan masing-masing untuk menjalankan aktiviti haram dan telah didakwa beberapa kali di mahkamah serta diambil tindakan sebelum ini.

Katanya, bagaimanapun kedua-dua premis tersebut tidak serik dan susulan itu, pihaknya mengambil tindakan lebih tegas dengan membuat pemotongan elektrik di dua premis itu bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB), mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953, kira-kira pukul 3.30 petang semalam.

“Sebuah premis telekomunikasi sudah diserbu sebanyak 10 kali dan sebuah lagi premis yang menjalankan perniagaan runcit pula, sudah lima kali dikenakan tindakan atas kesalahan sama mengikut Seksyen 9(1) ARJT 1953.

-Advertisement-

“Polis mengesan kedua-dua premis berkenaan masih menjalankan kegiatan sama dan mereka seolah-olah tidak takut walaupun sudah diserbu dan dikenakan tindakan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Nor Omar berkata, dua premis berkenaan akan mengambil komisyen jualan sebanyak 18 peratus daripada jualan harian loteri awam haram berkenaan.

Dalam pada itu, Nor Omar berkata pada tahun ini, sebanyak 10 premis sudah dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik di sekitar daerah Manjung.

Katanya polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu dan premis menjalankan aktiviti perjudian dan pemotongan bekalan elektrik di premis perjudian, akan dilaksanakan secara komprehensif dan berterusan dalam membanteras kegiatan itu. -BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427