Polis, penunjuk perasaan bertelagah di Sepanyol

Estimate Reading Time: < 1 minute

MADRID: Polis Sepanyol malam tadi menggunakan belantan terhadap sekumpulan individu yang melakukan bantahan, termasuk beberapa lagi penunjuk perasaan yang membakar suar di luar ibu pejabat Parti Sosialis (PSOE) yang memerintah di Madrid.

Ia berikutan pembentangan cadangan undang-undang pengampunan bagi pejuang yang gagal dalam usaha mereka mendapatkan kemerdekaan bagi Catalonia.

Pertempuran itu membawa kepada keadaan huru-hara, malah rakaman video Reuters menunjukkan orang ramai berlari di tengah kepulan asap dan bekas sampah yang dibuang di jalanan.

Menurut laporan media tempatan, kira-kira 4,000 orang menghadiri protes itu termasuk pemimpin parti sayap kanan Sepanyol, Vox, Santiago Abascal, dan sekurang-kurangnya seorang ditahan.

Penyiar awam TVE pula melaporkan, beberapa penunjuk perasaan menggunakan gas pemedih mata.

Menurut akhbar El Pais, polis menggunakan peluru getah dan gas pemedih mata untuk menyuraikan orang ramai ketika beberapa individu menolak pagar mudah alih yang melindungi ibu pejabat parti Sosialis serta membaling botol ke arah polis.

Polis Sepanyol dan kerajaan pusat di Madrid sehingga kini tidak memberikan komen berhubung perkara itu.

Undang-undang pengampunan itu dicadangkan oleh pemangku Perdana Menteri berhaluan sosialis, Pedro Sanchez, yang cuba membentuk kerajaan selepas pilihan raya Julai lalu, namun gagal meraih sokongan majoriti yang diperlukan.

Tuntutan kemerdekaan untuk Catalonia bermula sejak berkurun lalu, namun mula mendapat perhatian beberapa tahun kebelakangan ini susulan krisis ekonomi.

Ia sebuah rantau industri yang kaya, dengan 7.5 juta penduduk atau membabiotkan 20 peratus daripada ekonomi Sepanyol, selain memiliki bahasa dan budaya tersendiri.

– REUTERS

– BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5464