Polis P Pinang nafi sengaja tendang motosikal hingga penunggang, pembonceng cedera

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA: Polis Daerah Timur Laut Pulau Pinang menafikan tuduhan anggotanya sengaja menendang motosikal sehingga mendatangkan kecederaan kepada penunggang dan pemboncengnya.

-Advertisement-

Ketuanya Soffian Santong berkata, dalam kejadian 17 Jan di persimpangan lampu isyarat berhampiran Tesco Tanjong Tokong, sebuah motosikal dinaiki dua lelaki dipercayai melanggar lampu isyarat hingga menyebabkan mereka melanggar sebuah kereta.

“Insiden ini bermula pada 5.20 petang, apabila tiga anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) IPD Timur Laut Pulau Pinang terserempak dengan dua lelaki menunggang motosikal tidak memakai topi keledar.

“Polis sudah mengarahkan mereka berhenti namun ingkar, malah melarikan diri. Anggota URB mengejar dan apabila sampai di lampu isyarat berhampiran Tesco Tanjung Tokong, motosikal yang dinaiki kedua-dua lelaki tersebut tidak berhenti di lampu isyarat,” katanya dalam kenyataan.

Soffian berkata, tindakan penunggang motosikal itu menyebabkan mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta dipandu seorang lelaki dari arah Georgetown menuju ke Tanjung Bungah.

-Advertisement-

“Akibat pelanggaran tersebut kedua-dua penunggang dan pembonceng motosikal terjatuh dan mengalami kecederaan manakala kereta lelaki tersebut mengalami kerosakan kemek bonet hadapan kanan dan pecah bahagian lampu dan bumper hadapan,” katanya.

Soffian berkata, kes itu disiasat bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Siasatan berkaitan insiden itu masih diteruskan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh tampil ke balai polis berhampiran,” katanya.

-FMT


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427