Polis Kedah tambah SJR, pasukan pemantau di luar bandar

Estimate Reading Time: 2 minutes

Alor Setar: Polis Kedah akan mempertingkatkan pemantauan dan pemeriksaan di rumah ibadat terutama di kawasan luar bandar bagi mengelak berlaku penularan jangkitan Covid-19 ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

-Advertisement-

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari berkata, beliau sudah mengarahkan semua ketua balai di setiap daerah di negeri ini supaya melakukan pemantauan berterusan di kawasan kampung.

Beliau berkata, ia bertujuan memastikan penduduk di kawasan kampung sentiasa peka dan patuh pada prosedur operasi standard (SOP) berikutan peningkatan jumlah kes Covid-19 kebelakangan ini.

“Saya sudah maklumkan pada mereka (ketua balai) supaya melakukan pemantauan terutama di kawasan agak jauh supaya pematuhan SOP dilakukan.

“Selain itu, saya nasihatkan kepada semua pengusaha stesen minyak di negeri ini supaya mengambil langkah berwaspada bagi mengelakkan jangkitan Covid-19 melalui pengisian minyak terutama di kawasan sempadan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, hari ini.

Mohd Roze berkata, terdapat kemungkinan pekerja dari negeri lain seperti Pulau Pinang atau Perak yang dijangkiti Covid-19 dan mengisi minyak ketika sampai di sempadan Bandar Baharu, Kulim atau Kuala Muda dan ini boleh menyebabkan jangkitan merebak.

Beliau berkata, polis Kedah turut menambah pasukan pemantau Covid-19 dari 198 kepada 230 pasukan untuk melakukan pemantauan dan rondaan di sekitar negeri ini.

-Advertisement-

“Sejak PKP dilaksanakan 1 Mei lalu hingga semalam, sebanyak 139 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan terutama tidak memakai pelitup muka.

“Selain itu, sebanyak 18 tangkapan dilakukan dan kami turut menutup banyak laluan tikus di kawasan Kota Setar dan Bandar Darul Aman serta Lubuk Kawah di Jitra yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 19 Mei lalu.

“Sekatan jalan raya (SJR) ditambah daripada 36 kini menjadi 42 untuk memastikan orang ramai patuh SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Beliau berkata, permohonan untuk merentas negeri dan daerah membabitkan 11 daerah di Kedah sehingga 19 Mei lalu berjumlah 6,211 dan hanya 5,427 diluluskan kerana kebanyakan permohonan membabitkan pekerja yang bekerja di luar Kedah seperti Perak dan Pulau Pinang.

Katanya, sebanyak 784 permohonan ditolak kerana dokumen tidak lengkap untuk menyokong permohonan merentas negeri dan daerah.

“Kami akan berbincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melakukan pemeriksaan dan pemantauan di pasar pagi di negeri ini.

“Kami jangka berlaku ketidak patuhan SOP kerana apabila nampak polis, mereka akan ikut SOP tapi bila pihak berkuasa tiada, tahap pematuhan itu agak longgar.

“Kami akan meminta pihak PBT turut serta dalam pemantauan diadakan itu,” katanya.-METRO


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427