IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menamatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi anggota tentera yang hilang dihanyutkan arus deras susulan kejadian kepala air sewaktu menyeberangi Sungai Merah di Hutan Royal Belum di Gerik.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood, berkata operasi mencari Lans Koperal Ahmad Zulhilmi Ahmad Tamizi, dari Rejimen Komando ke-22 di Kem Iskandar di Mersing, Johor, ditamatkan jam 6 petang semalam.
“Bagaimanapun, usaha pencarian diteruskan oleh pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya dalam kenyataan.
Pada 3 Disember, Tentera Darat Malaysia dalam satu kenyataan, mengesahkan kehilangan dua anggotanya semasa melakukan rondaan dalam Operasi Kota Echo/Foxtrot Siri 6/2024, kira-kira jam 8 pagi 29 Disember.
Tujuh anggota ditemukan selamat kira-kira jam 12.30 tengah hari pada hari kejadian, namun Ahmad Zulhmi serta Lans Koperal Mohd Afandi Jahwin dari 21 Komando Kem Sungai Udang, Melaka, hilang.
Mayat Mohd Afandi yang berasal dari Matu, Sarawak kemudian ditemukan oleh pasukan penyelamat.
-BeritaHarian