PETALING JAYA: Polis hari ini memburu seorang lelaki yang sebelum ini melarikan diri sebaik sahaja dibebaskan dengan jaminan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Huzir Mohamed dalam kenyataan berkata, suspek Goh Leong Yeong dikehendaki kerana terlibat dalam kes Macau scam baru-baru ini.
“Suspek ini dikehendaki bersabit siasatan melibatkan 3 kes di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana terlibat dalam penganjuran judi atas talian di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya.
Menurut Huzir, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di talian 012-8993622 atau pegawai penyiasat Muhamad Faizal Asuar di 017-3126411.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan Huzir turut memaklumkan pihaknya sudah menahan 3 suspek melibatkan kegiatan penganjuran judi atas talian di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Menurutnya, 3 suspek ini ditahan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Jenayah 1959 dan akan ditahan selama 21 hari bermula 14 Oktober hingga 3 November.
“Kesemua tangkapan ini dibuat setelah mereka dibebaskan dengan jaminan oleh SPRM kerana terlibat dengan kes Macau scam baru-baru ini,” katanya. -FMT