Polis berkas 11 lelaki disyaki godam sistem komputer kerajaan

Estimate Reading Time: < 1 minute

SHAH ALAM: Sekumpulan 11 lelaki disyaki terbabit kegiatan menggodam sistem komputer kerajaan, ditahan dalam tujuh serbuan berasingan di seluruh negara, semalam.

-Advertisement-

Serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman yang melakukan risikan dan intipan sejak minggu lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata semua suspek yang ditangkap itu berumur antara 20 hingga 40 tahun, termasuk individu disyaki pentadbir akaun Facebook Anonymous Malaysia.

“Tangkapan dibuat berikutan kumpulan terbabit disyaki membuat ugutan serta ancaman untuk menggodam sistem komputer kerajaan sejak beberapa tahun lalu.

“Ketika ini, polis masih menjalankan siasatan lebih lanjut untuk mengenal pasti saki-baki suspek lain sebelum proses tangkapan susulan dilakukan,” katanya.

-Advertisement-

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Sekatan Jalan Raya di Plaza Tol Setia Alam, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Acryl Sani berkata, kesemua suspek itu disyaki menjalankan serangan siber terancang terhadap laman web kerajaan dan swasta.

“Siasatan kita setakat ini tidak menolak kemungkinan 17 laman web sudah diceroboh,” katanya.

Sementara itu berdasarkan maklumat diperoleh, suspek ditahan turut disyaki melakukan pencerobohan terhadap tiga sistem kerajaan Johor, Sabah serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427