Polis akan panggil kumpulan yang terlibat bawa pulang abu mayat Chin Peng

Estimate Reading Time: < 1 minute

DENGKIL- Polis akan memanggil kumpulan yang terlibat dalam pengurusan membawa pulang abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor.

-Advertisement-

Beliau berkata, pihak polis kini dalam proses untuk mengambil tindakan bagi memanggil pihak yang berkenaan.

“Siasatan sedang dijalankan. Kami masih menyiasat kerana perkara ni dah lama jadi ia akan mengambil masa untuk kita kenalpasti (mereka yang terlibat),” katanya pada sidang media mengenai Operasi Bersepadu Khazanah di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua telah dibawa masuk pulang ke Malaysia pada 16 Sept lepas dan ditabur ke laut berhampiran Lumut, Perak dan di hutan banjaran Titiwangsa tanpa sebarang tugu atau jirat.

-Advertisement-

Abu mayat bekas pemimpin PKM itu dilaporkan tiba di Ipoh, Perak pada 16 Sept lepas dan satu majlis peringatan dihadiri 150 individu diadakan pada hari yang sama.

Chin Peng, yang lahir di Sitiawan, Perak meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada tahun 2013 ketika berusia 89 tahun.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan mayat atau abu mayat Chin Peng tidak akan dibenar dibawa masuk ke negara ini sebagai menghormati keluarga dan waris anggota pasukan keselamatan serta rakyat yang terkorban ketika PKM melancarkan perang gerila untuk menggulingkan kerajaan ketika itu.- BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427