PKPP: MAATFA jangka taman tema terima ramai pengunjung

Estimate Reading Time: < 1 minute

GEORGE TOWN: Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia (MAATFA) menjangka taman tema di Malaysia akan kembali meriah apabila dibuka semula setelah terdapat permintaan tinggi daripada orang ramai untuk mengunjungi tempat-tempat tersebut.

Presiden MAATFA Tan Sri Richard Koh berkata pembukaan semula Taman Tema Disneyland Shanghai sebagai contoh, berjaya menarik sehingga 5,000 pengunjung setiap hari, serta pembukaan taman tema berkenaan di Hong Kong pada 18 Jun ini.

“Tarikan lain, seperti Bukit Bendera, juga telah berjaya menarik ramai pengunjung sejak dibuka semula, sangat menggembirakan untuk melihatnya (taman tema juga berjaya),” katanya pada sidang media di Escape Penang Theme Park di Teluk Bahang di sini hari ini.

-Advertisement-

 

Beliau berkata rakyat Malaysia pastinya ingin keluar dan menikmati alam sekitar, terutama setelah tinggal di rumah selama berbulan-bulan mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengekang wabak COVID-19.

Beliau berharap kerajaan Persekutuan akan membenarkan pembukaan semula semua taman tema dan tarikan di seluruh negara tidak lama lagi dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang sewajarnya.

Terdahulu, Koh, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan negeri Yeoh Soon Hin serta pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Escape Penang, Sim Choo Kheng mengunjungi taman tema berkenaan di Teluk Bahang yang dibuka semula hari ini.

-Advertisement-

 

Sim menekankan bahawa hanya tarikan bertema alam di taman itu, “AdventurePlay” yang dibuka manakala “Waterplay”, tarikan berasaskan air yang merangkumi gelongsor air terpanjang di dunia, masih ditutup untuk umum.

Beliau berkata pembukaan semula taman tema itu dengan syarat mematuhi SOP, termasuk memberi sarung tangan kepada pengunjung, melakukan penjarakan sosial dan menyah kuman semua kemudahan taman tema.

“Kita juga mengehadkan jumlah pengunjung kepada hanya 1,000 sehari (berbanding kira-kira 3,000 setiap hari sebelum PKP,” katanya.

– BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427