IPOH, 13 Nov — Rumah ibadat bukan Islam di Perak dibenar beroperasi dari 7 pagi hingga 10 malam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata setiap rumah ibadat perlu memastikan had maksimum 30 orang pada satu-satu masa di dalam rumah ibadat tertakluk kepada keluasan premis dengan penjarakan fizikal satu meter wajib dipatuhi.
“Aktiviti di rumah ibadat bukan Islam ini mestilah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Pada 7 Nov, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPB di semua negeri seluruh Semenanjung kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan, berkuat kuasa selama empat minggu bermula 9 Nov hingga 6 Dis. -BERNAMA