SEREMBAN: “Tahniah dan syabas kepada pasukan yang beraksi cemerlang dengan meraih kemenangan besar,” kata Setiausaha Kehormat Persatuan Hoki Negeri Sembilan (PHNS), Tamil Selvan.
Kenyataan itu dilontarkannya susulan kemenangan besar yang dicapai skuad hoki wanita Negeri Sembilan apabila menewaskan wakil Pulau Pinang, Mutiara-MSSPP-PSHA-PKS UNITEN, 13-0 di Bertam, petang semalam.
Tamil menyifatkan kemenangan itu di luar dugaan kerana pasukan tuan rumah memberikan tentangan sengit, namun pemain Negeri Sembilan mendapat rentak terbaik apabila memanfaatkan setiap peluang untuk menjaringkan gol.
“Bagaimanapun lawan di peringkat separuh akhir belum diketahui kerana perlawanan peringkat liga belum berakhir,” katanya di sini, hari ini.
Kata Tamil, PHNS puas hati dan memuji penampilan skuad bimbingan Shaiful Azli Abd Rahman itu yang merealisasikan sasaran awal ditetapkan persatuan untuk musim ini.
“Memang sasaran awal kita untuk layak ke separuh akhir dan kini ia sudah dapat dicapai.
“Kita yakin jika pemain dapat kekalkan persembahan terbaik dan semangat juang yang tinggi ini, pasukan mampu lepasi halangan peringkat separuh akhir dan seterusnya berpeluang melangkah ke pentas final,” katanya.
-BeritaHarian