Petunjuk terperinci jadikan IKRM lebih tepat ukur tahap sejahtera rakyat

Estimate Reading Time: 3 minutes

Indeks Kesejahteraan Malaysia (IKRM) diterbitkan Jabatan Perangkaan adalah salah satu usaha utama menilai tahap kesejahteraan rakyat. Ia menggabungkan pelbagai petunjuk ekonomi dan sosial untuk memberi gambaran menyeluruh kualiti hidup rakyat.

-Advertisement-

IKRM diukur berdasarkan dua komponen utama iaitu komponen ekonomi, merangkumi elemen pendapatan dan agihan, pengangkutan, komunikasi, pendidikan dan kadar pengangguran.

Komponen sosial pula meliputi aspek kesihatan, perumahan, keselamatan awam, penyertaan sosial, persekitaran dan kehidupan keluarga.
Laporan ini bertujuan menyediakan data asas boleh digunakan pembuat dasar bagi merangka strategi pembangunan lebih inklusif.

Namun, sejauh mana laporan ini memberikan gambaran lengkap mengenai kesejahteraan rakyat masih menjadi persoalan.

Walaupun ia mencakupi banyak dimensi penting, terdapat ruang untuk penambahbaikan dari segi skop, granulariti dan tahap perincian serta jenis data digunakan.

Artikel ini membincangkan sejauh mana IKRM memberikan gambaran menyeluruh, kekangan dihadapi dan bagaimana petunjuk lebih terperinci dapat membantu memperkayakan pemahaman mengenai kesejahteraan.

IKRM adalah inisiatif penting untuk memahami kesejahteraan rakyat namun, terdapat beberapa batasan boleh menjejaskan kemampuannya memberikan gambaran lengkap.

Pertama, laporan ini kekurangan granulariti data (perincian). Kebanyakan data dalam IKRM disusun pada tahap negeri atau nasional, tidak mencerminkan variasi kesejahteraan di kawasan lebih kecil seperti mukim atau kampung.

Sebagai contoh, perbezaan kualiti hidup antara bandar dan luar bandar dalam negeri seperti Sabah atau Sarawak mungkin tidak dapat dilihat dalam analisis peringkat negeri.

Selain itu, IKRM cenderung memberi penekanan kepada petunjuk objektif seperti kadar pengangguran atau pendapatan per kapita.

Walaupun petunjuk ini penting, ia tidak mencerminkan kesejahteraan subjektif seperti kepuasan hidup, kebahagiaan atau perasaan selamat.

Perspektif subjektif ini adalah dimensi penting menilai kesejahteraan secara menyeluruh. IKRM juga menghadapi kekurangan dalam meliputi beberapa petunjuk kritikal.

Aspek seperti keselamatan makanan, akses kepada air bersih di kawasan terpencil, kesaksamaan gender dan kelestarian alam sekitar kurang diberi penekanan.

Petunjuk ini penting untuk memahami cabaran kesejahteraan dihadapi komuniti tertentu, terutama golongan rentan seperti Orang Asli atau masyarakat pedalaman. Di samping itu, ketidaksamaan wilayah dan demografi dalam Malaysia juga kurang diketengahkan.

IKRM tidak memberikan analisis mendalam kesejahteraan kumpulan rentan seperti golongan miskin tegar, pekerja migran atau komuniti minoriti. Perbezaan antara jantina, umur dan etnik juga tidak diberi perhatian yang mencukupi.

Bagi memperbaiki kefahaman kesejahteraan rakyat, petunjuk lebih terperinci perlu dimasukkan ke dalam IKRM. Salah satu langkah penting ialah meningkatkan granulariti data.

Data perlu dikumpulkan pada tahap lebih kecil, seperti mukim atau kampung, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Sebagai contoh, perincian data kemiskinan, pendidikan atau akses kepada perkhidmatan asas dapat memberikan gambaran lebih jelas ketidakseimbangan dalam negeri seperti Sabah dan Sarawak.

Dimensi kesejahteraan subjektif juga perlu diberi perhatian. Indeks kepuasan hidup, keseimbangan kerja-kehidupan dan kesihatan mental boleh ditambah untuk melengkapi dimensi objektif sedia ada.

-Advertisement-

Contohnya, data kadar kemurungan atau akses kepada perkhidmatan psikologi boleh membantu menilai kesejahteraan mental rakyat, terutama dalam konteks tekanan ekonomi dan sosial semakin meningkat.

IKRM juga perlu memasukkan petunjuk kritikal belum diliputi. Keselamatan makanan adalah salah satu isu penting perlu diberi perhatian, terutama di kawasan pedalaman.

Data ketersediaan dan akses kepada makanan sihat boleh melengkapkan dimensi kesihatan dalam IKRM.

Selain itu, petunjuk berkaitan kelestarian alam sekitar seperti kualiti udara, akses sumber air bersih dan pengurusan sisa, boleh membantu menilai keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan penjagaan alam sekitar.

Analisis kumpulan rentan juga perlu diberi keutamaan. Petunjuk memberi tumpuan kepada komuniti marginal seperti Orang Asli, masyarakat pedalaman dan pekerja migran boleh membantu menangani jurang kesejahteraan yang wujud.

Dalam era digital, kesejahteraan digital menjadi dimensi penting tidak boleh diabaikan kerana teknologi kini memainkan peranan utama dalam kehidupan harian, pendidikan dan pekerjaan.

Petunjuk seperti akses kepada internet, literasi digital dan tahap penggunaan teknologi mencerminkan sejauh mana rakyat Malaysia mampu memanfaatkan kemajuan teknologi untuk meningkatkan kualiti hidup mereka.

Akses internet misalnya, adalah asas kepada pendidikan jarak jauh, peluang pekerjaan dan akses kepada maklumat penting.

Ketiadaan akses ini terutama di kawasan pedalaman dan luar bandar, menyumbang kepada jurang digital menjejaskan keseimbangan pembangunan.

Literasi digital pula memastikan individu dapat menggunakan teknologi dengan cekap dan bertanggungjawab, sementara penggunaan teknologi menggambarkan tahap inovasi dan produktiviti masyarakat.

Dengan memasukkan faktor kesejahteraan digital dalam IKRM, kerajaan dapat mengukur jurang digital, mengenal pasti kawasan atau kumpulan ketinggalan, merangka dasar memperluaskan akses dan literasi teknologi.

Berbekalkan petunjuk lebih terperinci, IKRM dapat memberikan gambaran lengkap mengenai kesejahteraan rakyat.

Pertama, ia boleh memperkukuhkan perancangan pembangunan wilayah. Data granular membolehkan kerajaan mengenal pasti kawasan memerlukan bantuan khusus, seperti kawasan pedalaman di Sabah atau Sarawak dan menyusun dasar lebih berkesan.

Kedua, petunjuk pelbagai membolehkan kerajaan memantau keberkesanan dasar dengan lebih tepat. Contohnya, perubahan dalam kadar kemiskinan atau tahap pendidikan boleh digunakan untuk menilai kejayaan program pembangunan.

Ketiga, data lebih terperinci dapat membantu mengurangkan ketidaksamaan antara negeri dan wilayah. Dengan memahami jurang dalam pelbagai aspek kesejahteraan, usaha dapat difokuskan untuk memastikan agihan sumber lebih adil.

Dengan memasukkan petunjuk lebih terperinci seperti data subnasional, kesejahteraan subjektif dan analisis kumpulan rentan, laporan ini boleh memberikan gambaran lebih menyeluruh kualiti hidup rakyat.

Langkah ini penting untuk memastikan setiap rakyat, tanpa mengira lokasi atau status sosioekonomi, mendapat manfaat daripada pembangunan negara.

Apabila IKRM diperkaya, Malaysia dapat bergerak ke arah pembangunan lebih inklusif, mampan dan berdaya saing di peringkat global.

Penulis seorang Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Ekonomi, Wang dan Bank, Universiti Utara Malaysia
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427