PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini, memerintahkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Gua Musang, dibicarakan secara penuh.
Keputusan itu diumumkan oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Rahman Sebli, selepas mendapati ada kekhilafan dalam keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Pilihanraya.
Turut berada dalam panel itu ialah dua hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Seri Hasnah Mohamed Hashim dan Datuk Nordin Hassan.
Sebelum ini, Mahkamah Pilihanraya membenarkan bantahan awal oleh responden atas alasan Akta Kesalahan Pilihan Raya dan peraturan-peraturan tidak dipatuhi.
Rahmah ketika membacakan keputusannya, berkata pempetisyen telah memplidkan butir-butir mencukupi di dalam petisyen untuk kes dibicarakan sepenuhnya
Mahkamah juga memerintahkan petisyen itu didengari oleh hakim baharu sebelum menetapkan 26 Jun untuk pengurusan kes.
Sebelum ini, Azmi Mahmood yang mewakili calon Barisan Nasional (BN), Tengku Razaleigh Hamzah memfailkan petisyen susulan dakwaan wang dibayar kepada beberapa pengundi.
Beliau juga mendakwa mendakwa beberapa peti undi dari pusat mengundi tertentu tidak dikira.
Dia memohon mahkamah membatalkan keputusan pilihan raya itu dan pemilihan baharu diadakan.
Dalam PRU15, calon Perikatan Nasional (PN), Azizi Abu Naim, menewaskan Tengku Razaleigh yang menyandang kerusi itu sejak 1974 dengan majoriti tipis 163 undi.
Sementara itu dalam prosiding berasingan, panel hakim itu mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihanraya menerima bantahan awal terhadap cubaan mencabar keputusan PRU15 bagi Parlimen Putrajaya.
Bantahan awal itu mengekalkan kedudukan penyandang, Datuk Dr Radzi Jidin.
Rahman berkata, rayuan terhadap keputusan mahkamah tiada merit kerana pempetisyen gagal memplidkan butir-butir mencukupi.
Mahkamah juga memerintahkan pempetisyen, Naib Ketua Umno Putrajaya Faisal Abdul Karim membayar Radzi RM30,000 sebagai kos.
Radzi menewaskan penyandang empat penggal, Tengku Adnan Tengku Mansor, dengan majoriti 2,310 undi dalam pertandingan enam penjuru.
– FMT
– BH