GEORGETOWN: “Kami sudah bersedia terima kunjungan pelanggan yang mahu makan dalam premis (dine-in), namun tetap menggalakkan orang ramai membeli secara bawa pulang bagi mengelakkan peningkatan kes penularan COVID-19.”
Begitu kata Pengarah Restoran Hameediyah, Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim, 30, mengenai persiapan premis makanan yang dibenarkan beroperasi secara ‘dine-in’ kepada individu yang lengkap vaksinasi bermula esok.
Muhammad Riyaaz berkata, keputusan oleh kerajaan itu diharap dapat merancakkan semula industri pelancongan Pulau Pinang walaupun ia belum dibuka sepenuhnya.
Katanya, restoran yang mempunyai tiga cawangan di Pulau Pinang dan dua di Kuala Lumpur itu kini menunggu senarai penuh prosedur operasi standard (SOP).
“Memang diakui pelanggan lebih suka makan di restoran kerana rasa nasi kandar lebih sedap ketika panas namun bagi keselamatan serta berjaga-jaga, kami lebih menggalakkan pelanggan beli dan bawa pulang.
“Jumlah tempat duduk juga dikurangkan misalnya di restoran cawangan ini yang boleh menempatkan seramai 190 orang kami hanya terima separuh daripada itu,” katanya ketika ditemui di Lebuh Campbell sini, hari ini.
Tinjauan mendapati, pekerja sedang melakukan persiapan dengan membersihkan dan menyusun semula kerusi serta meja di premis itu.
Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) turut ditempatkan di pintu masuk bagi membantu kelancaran pergerakan pelanggan dan kepatuhan SOP.
Sementara itu, tinjauan di Hotel Royal Penang, Jalan Larut, di sini, yang juga terletak di pusat bandar mendapati kakitangan premis berkenaan giat melakukan sanitasi di bahagian restoran dan dalam bilik hotel.
Pengurus Besar Hotel Royal Penang, Amran Taib, berkata pihaknya juga mengalu-alukan kelonggaran bagi sektor pelancongan itu dan diharap dapat ‘membangunkan’ semula industri berkenaan yang berkait antara satu sama lain.
Setakat ini pihaknya juga masih menunggu senarai penuh SOP sebelum membenarkan aktiviti ‘dine-in’ dan penginapan.
“Bagi sektor hotel, dijangka aktiviti ‘dine-in’ menjadi tumpuan berbanding penginapan dan persiapan dilakukan dengan rapi bagi memastikan keselamatan pelanggan.
“Setakat ini kesemua kakitangan di sini sudah menerima vaksin dan kita akan buat penambahbaikan mengikut keadaan semasa,” katanya ketika dihubungi di sini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam mengumumkan kerajaan memberi kemudahan kepada mereka yang lengkap menerima vaksin COVID-19 di negeri fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk makan di restoran.
-BH