Persatuan bank lancar inisiatif sektor kewangan mapan

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) hari ini melancarkan satu siri inisiatif untuk terus membina daya tahan iklim dalam sektor kewangan negara.

-Advertisement-

Pengerusinya Datuk Khairussaleh Ramli membuat pengumuman itu semasa Persidangan Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3) bertemakan ‘Journey to Zero’ yang berlangsung selama tiga hari.

Beliau berkata ABM bersama Persatuan Perbankan dan Institusi Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) akan memeterai memorandum persefahaman dengan United Nations Global Compact Network Malaysia & Brunei untuk menumpukan kepada memajukan amalan kemampanan dan menyokong generasi pemimpin perniagaan baharu dalam memperkasakan pembangunan mapan.

“Salah satu inisiatif utama perkongsian ini melibatkan penganjuran sesi pembinaan kapasiti yang direka khusus untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia. Diharapkan usaha ini akan menangani pelbagai cabaran yang dihadapi oleh PKS apabila ia melibatkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG),” katanya.

Selain itu, beliau berkata Jawatankuasa ESG ABM di bawah pengawasan Majlis ABM akan mengeluarkan laporan kemajuan industri mengenai inisiatif dan kemajuan bank ke arah memenuhi tujuh prinsip ESG yang luas untuk sektor perbankan Malaysia yang diumumkan tahun lepas.

“ABM telah melihat ahlinya menyumbang kepada penggemblengan modal dalam industri kewangan secara kolektif memacu kewangan mampan dan amalan perbankan yang bertanggungjawab merentas sektor ekonomi.

-Advertisement-

“Setakat ini, bank-bank di Malaysia secara terbuka komited untuk menggunakan lebih RM200 bilion dalam kewangan mampan dan saya memuji usaha ini,” katanya.

Khairussaleh berkata ABM bersama Maybank dan CIMB juga akan bekerjasama dengan Glasgow Financial Alliance for Net Zero (GFANZ) pada sesi Latihan Pengamal meja bulat untuk institusi kewangan Malaysia bulan hadapan.

Objektifnya adalah untuk melengkapkan pengamal dengan pengetahuan praktikal dan keyakinan untuk memulakan serta melaksanakan perancangan peralihan dalam organisasi mereka.

“Krisis iklim memerlukan kita melakukan tindakan selain daripada mengeluarkan kenyataan. Inisiatif kami di sini hari ini menuntut tindakan dan akauntabiliti.

“Kami melakukan ini bukan kerana kami dikehendaki mematuhi peraturan semata-mata. Kami melakukannya kerana menganggap ‘triple bottom line’ (rangka kerja perakaunan melibatkan sosial, alam sekitar dan ekonomi) penting kepada masa depan, mencapai matlamat pelepasan karbon sifar dan ekonomi mesra alam,” katanya.
-Bernama
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427