PERODUA perkenal prototaip elektrik eMO-II, harga tidak lebih RM90,000

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) mendedahkan evolusi prototaip kenderaan bateri elektriknya yang dikenali sebagai eMO-II di Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 (KLIMS 2024).

-Advertisement-

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, berkata prototaip terbaharu itu adalah kesinambungan perjalanan pembuatan kereta elektrik (EV) dengan teknologi yang dibangunkan pengeluar kereta kompak nasional itu.

“Kami cipta sendiri dari awal. eMO-II telah ditambahbaik daripada model prototaip terdahulu dari segi penggayaan dan ciri-cirinya, menjadikannya lebih sempurna dan bersedia menuju masa depan EV kami.

“Ingin saya ingatkan bahawa ini adalah model prototaip dan ada lebih banyak ciri-ciri dan penambahbaikan yang akan dimasukkan pada produk akhir kami yang bakal diperkenalkan tidak lama lagi.

“Ini adalah episod kedua dan nantikan episod ketiga di mana produk akhir harganya antara RM50,000 hingga RM90,000. Tidak lebih RM90,000,” katanya ketika memperkenalkan eMO-II di sini, hari ini.

Prototaip terbaharu itu memiliki penggayaan yang lebih kemas yang mana ia menggabungkan ciri estetik abad ke-21 dengan keunikan Malaysia.

Reka bentuk kereta berkenaan dibuat berdasarkan elemen songket yang digabungkan dengan lampu LED bagi melengkapi keseluruhan rekaannya.

Projek EV berkenaan dibangunkan sepenuhnya secara dalaman oleh Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan PERODUA pada 2023.

Zainal Abidin berkata, walaupun proses pembelajaran yang dilalui agak singkat, PERODUA dapat menguasai pembuatan EV dengan lebih baik hasil kerjasama beberapa perunding yang dilantik.

-Advertisement-

“Suka untuk saya katakan di sini bahawa kami telah berjaya memenuhi garis masa yang ditetapkan, seterusnya boleh meneruskan penceritaan mengenai EV kami di sini, hari ini.

“Kami amat teruja untuk berkongsi cerita dengan anda semua dan kami akan terus memberikan perkembangan selanjutnya di masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata, PERODUA juga bekerjasama dengan beberapa organisasi korporat tempatan untuk memastikan pelanggannya mendapat akses mobiliti yang lebih baik.

“Mobiliti yang lebih baik bermakna kami menitikberatkan semua aspek pemilikan EV bagi memastikan pelanggan kami mendapat pengalaman yang efisyen, mesra pengguna dan dilengkapi oleh prasarana sokongan yang disediakan oleh organisasi ternama di negara ini.

“Paling penting, saya ingin berterima kasih kepada kerajaan, terutamanya Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) kerana menyokong projek ini, seterusnya menyokong ekosistem automotif negara dalam meneroka dunia EV.

“Kami faham bahawa elektrifikasi bukan hanya mengenai cara baharu untuk memandu, tetapi ia juga menunjukkan usaha kami dalam memerangi perubahan iklim dengan mengurangkan jejak karbon kami. Kami menyokong misi ini dan akan melakukan yang terbaik untuk merealisasikannya,” katanya.

eMO-II dibangunkan menggunakan casis baharu dengan jarak perbatuan sekitar 400 hingga 410 kilometer (km), manakala pecutan 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 6 hingga 7 saat.

Selain daripada eMO-II, PERODUA turut mempamerkan kereta konsep Ativa Fuze serta perjalanan syaikat selama 30 tahun di KLIMS 2024.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427