Perniagaan digesa terus amalkan norma baharu walaupun dengan pelaksanaan program vaksinasi

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 25 Feb — Perniagaan tidak seharusnya memandang vaksin sebagai jalan penyelesaian tetapi perlu terus mengamalkan norma baharu, termasuk melalui digitalisasi, kata Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

-Advertisement-

Beliau berkata pelaksanaan vaksin akan dapat membantu mengurangkan impak kepada ekonomi, membolehkan lebih banyak sektor ekonomi beroperasi semula dan mungkin membenarkan pembukaan semula sempadan antarabangsa secara berperingkat.

“Dengan kepantasan adaptasi penggunaan e-dagang berikutan pelaksanaan penjarakan fizikal dan sekatan pergerakan, tidak dipertikaikan lagi digitalisasi merupakan hala tuju ke hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Oleh itu, Mohd Uzir berkata Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia yang holistik dilancarkan baru-baru ini bertepatan kerana menggariskan bidang fokus digitalisasi termasuk membangunkan tenaga kerja, menyediakan persekitaran digital yang dipercayai dan selamat serta mengembangkan bidang fokus dalam sektor ekonomi.

-Advertisement-

Sementara itu, katanya ekonomi Malaysia bakal menggambarkan prospek yang lebih baik pada bulan-bulan ke hadapan berdasarkan prestasi Indeks Pelopor (IP) yang mencatatkan 108.8 mata pada Disember 2020 daripada 101.6 mata pada Disember 2019, mengekalkan pertumbuhan tahunan 7.1 peratus sejak November 2020.

Ketika negara di seluruh dunia termasuk Malaysia dalam proses pelancaran vaksin COVID-19, Malaysia bersama-sama dengan ekonomi global dijangka kembali kepada pertumbuhan positif pada 2021,” katanya.

Menurut Kemas Kini Tinjauan Ekonomi Dunia yang dikeluarkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada Januari 2021, ekonomi dunia diunjurkan bertambah baik kepada 5.5 peratus pada 2021 dan 4.2 peratus pada 2022 selepas aktiviti ekonomi yang perlahan berikutan langkah kawalan bagi membendung pandemik pada 2020.

— BERNAMA

 


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427