Perniagaan di Jalan Jonker di Melaka ragu-ragu pelancongan zon hijau

Estimate Reading Time: 2 minutes

MELAKA: Perniagaan di Jalan Jonker yang terkenal di Melaka ragu-ragu dengan pengenalan perjalanan domestik antara zon hijau akan memberi perbezaan besar dan menjangkakan masa sukar akan berlanjutan.

-Advertisement-

Untuk menghidupkan semula sektor pelancongan, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Nancy Shukri baru-baru ini mengumumkan gelembung perjalanan domestik yang membolehkan pelancong bergerak antara zon hijau.

Walaupun hanya ada sedikit kes di daerah Melaka Tengah, lokasi Jalan Jonker berada, pengurus River View Guest House, Theva Karan tidak menjangkakan ketibaan ramai pelancong secara tiba-tiba, jika mereka boleh bergerak dari zon kuning ke hijau.

“Kita tidak jangka ia akan bertambah baik atau kembali normal. Mungkin kita boleh penuhi 40% hingga 50% bilik, tetapi saya tak tahu jika itu akan berlaku.”

Katanya, sebelum pandemik, hotel itu biasanya mempunyai kadar penghunian sebanyak 70% pada hujung minggu, namun kini ia terpaksa menawarkan bilik pada harga merugikan “untuk aliran tunai kerana itu lebih baik daripada tiada perniagaan”.

Theva juga mempersoalkan sama ada rakyat mempunyai wang untuk melancong, walaupun mereka dibenarkan.

-Advertisement-

Jay Wong, pengurus kafe The Stolen Cup, turut ragu-ragu dan berkata, keadaan tidak sama sehingga penduduk dari Selangor dan Kuala Lumpur dibenar melakukan perjalanan.

“Saya boleh katakan mereka merangkumi sekurang-kurangnya 70% pelanggan kami dan dengan Selangor di bawah PKPB, ramai orang dari utara sukar datang kerana banyak sekatan jalan.”

Katanya, ada beberapa pelanggan yang datang dari Johor, tetapi sukar untuk bergantung kepada pengunjung tempatan saja.

Stephanie Tang, pembantu pengurus Calanthe Art Cafe, berkata dalam usaha pulih daripada kemerosotan pendapatan sebanyak 70%, pihaknya mengubah suai menu dan harga untuk menarik penduduk tempatan.

“Kami hanya mampu sasar penduduk setempat, tetapi ramai orang Melaka tak suka kawasan ini kerana mereka menganggap tempat pelancongan, mereka selalu anggap ia makanan untuk pelancong pada harga pelancong.”

Beliau menjangkakan penambahbaikan yang perlahan dalam perniagaan kerana tempoh paling sibuk untuk pelancongan domestik berdasarkan pengalamannya sudah hampir berakhir, dengan Januari dan Februari biasanya menyaksikan ketibaan pelancong asing seperti Jepun dan Korea Selatan. -FMT


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427