Permohonan tuntutan balas Shafee terhadap LHDN ditolak

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, bagi mendapatkan kebenaran memfailkan tuntutan balas terhadap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang menuntut supaya peguam itu membayar tunggakan cukai pendapatan RM9.41 juta.

-Advertisement-

Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain, membuat keputusan itu kerana berpendapat permohonan Muhammad Shafee mengikut Aturan 73 Kaedah 4 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 berhubung tuntutan cukai dan dendanya tidak timbul.

Katanya, peguam itu sebagai defendan memfailkan tuntutan balas yang menyebut mengenai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang disifatkan tiada kaitan dengan kes itu.

“Mahkamah sedia maklum bahawa prosiding ini tidak membabitkan SPRM, yang bukan jabatan kerajaan atau Jabatan Peguam Negara (AGC) sebagai pihak disaman.

“Apa saja ketidakpuasan hati yang mungkin defendan ada, pengiraan taksiran cukai akan dibuat oleh Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (PKCP).

“Dakwaan pengiraan taksiran cukai berniat jahat oleh SPRM dan AGC boleh diselesaikan di tempat lain.

“Maka, mahkamah tidak membenarkan permohonan pemfailan tuntutan balas defendan. Permohonan ditolak dengan kos RM5,000 (yang perlu dibayar Muhammad Shafee kepada LHDN),” katanya.

Mahkamah menetapkan pengurusan kes dan pendengaran penghakiman terus masing-masing pada 22 Jun serta 26 Julai ini.

-Advertisement-

Muhammad Shafee diwakili peguam, Datuk Seri Rajan Navaratnam dan Muhammad Farhan Muhammad Shafee, manakala peguam kanan, Norzilah Abdul Hamid dan Muhammad Faqrol Syazreen Mohd Ghause mewakili LHDN.

Muhammad Shafee memfailkan permohonan itu pada Mei 2021 antaranya atas alasan tuntutan cukai itu adalah serangan terhadap beliau sebagai mangsa politik atas kapasitinya selaku peguam Datuk Seri Najib Razak dan dianggap peguam UMNO walaupun bukan peguam parti berkenaan.

Pada 27 September 2021, LHDN memohon supaya kes saman terhadap Muhammad Shafee diputuskan melalui penghakiman terus atas alasan antaranya defendan gagal membayar keseluruhan tunggakan cukai pendapatan dan kenaikan cukai yang dikenakan ke atas beliau berjumlah RM9,414,708.32 dalam tempoh yang ditetapkan.

LHDN yang memfailkan saman itu pada 6 Mei 2021 mendakwa sehingga kini, peguam terbabit masih gagal membayar amaun cukai pendapatan yang masih terhutang bagi Tahun-Tahun Taksiran 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016 termasuk kenaikan yang dikenakan.

Muhammad Shafee adalah peguam Najib dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada 28 Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Muhammad Shafee daripada dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram RM9.5 juta daripada Najib serta dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul kepada LHDN.

Bagaimanapun, pendakwaan pada 1 November 2022 memfailkan rayuan terhadap keputusan itu. – Berita Harian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427