Permohonan Najib dapatkan dokumen kes 1MDB didengar 31 Mei

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi mendapatkan dokumen berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berhubung pembabitan anggota keluarga bekas gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan bank pelaburan Amerika, Goldman Sachs, akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini, pada 31 Mei ini.

-Advertisement-

Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam memaklumkan kepada mahkamah pihak pembelaan memerlukan lebih masa untuk menjawab permohonan difailkan pihak pembelaan Najib.

“Kami terima surat sebab pada 12 April (permohonan kedua) dan kami memerlukan sekurang-kurangnya dua minggu untuk menjawab permohonan itu,” katanya ketika sebutan kes hari ini.

Mohamad Mustaffa turut memberitahu mahkamah, permohonan sama (berkaitan anggota keluarga Zeti) sudah dijadualkan untuk pendengaran pada 20 Mei dan pihak pendakwaan mencadangkan supaya kedua-dua permohonan didengar bersama pada satu tarikh kemudiannya.

Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tidak membantah permohonan pihak pendakwaan itu.

Pada 24 Mac lalu, pasukan pembelaan Najib memfailkan notis usul, antara lain meminta pihak pendakwaan mengemukakan beberapa penyata bank dan lain-lain dokumen kepada pihak pembelaan, yang dipercayai berkaitan ahli perniagaan yang sedang diburu, Low Taek Jho atau Jho Low, dan anggota keluarga Zeti.

-Advertisement-

Pada 5 April lalu, pasukan pembelaan Najib sekali lagi memfailkan permohonan bagi mendapatkan dokumen perjanjian sulit antara Kerajaan Malaysia dan Goldman Sachs, yang dilaporkan antara lain mengatakan bahawa Goldman Sachs mencapai persetujuan dengan Kerajaan Malaysia untuk membayar AS$2.5bil (RM10.4bil) dalam bentuk tunai dan jaminan pemulangan aset 1MDB bernilai AS$1.4bil (RM5.8bil) yang dirampas di seluruh dunia, sebagai balasan bagi Malaysia menggugurkan pertuduhan jenayah terhadap bank pelaburan Amerika itu.

Dalam afidavit disahkan oleh Najib, 68, bagi menyokong permohonannya, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, pendedahan berhubung penyelesaian dengan Goldman Sachs itu penting dalam pembelaannya dan hak beliau untuk perbicaraan yang adil.

“Dengan persetujuan antara Goldman Sachs dan kerajaan itu, saya khuatir penyelesaian itu boleh mengandungi klausa yang mewajibkan bank serta pekerjanya bekerjasama dengan pihak pendakwaan, dan kerjasama itu akan membabitkan pekerjanya dipanggil sebagai saksi perbicaraan 1MDB.

“Dalam keadaan itu, saya percaya klausa sedemikian dalam perjanjian penyelesaian Goldman Sachs mewajibkan dan memerlukan saksi itu memberi keterangan memihak kepada pihak pendakwaan serta menyembunyikan bukti yang memihak kepada pembelaan saya,” kata Najib menerusi afidavitnya.

Najib turut memohon transkrip atau laporan forensik daripada perbualan telefon Tim Leissner, yang juga bekas rakan kongsi Goldman Sachs di Asia dan data disimpan pelayan (server) Goldman Sachs membabitkan komunikasi Leissner.

Najib berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.–BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427