Perlu kebenaran polis, rentas negeri selepas 10 Mei

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Orang ramai yang mahu melakukan perjalanan rentas negeri selepas tempoh empat hari dibenarkan yang akan tamat 10 Mei ini, perlu mendapatkan kebenaran polis.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan masih menetapkan empat hari saja pengecualian pergerakan rentas negeri yang dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ismail Sabri berkata, tujuannya adalah untuk memberi kelonggaran bagi membolehkan mereka yang terperangkap di kampung balik ke kediaman masing-masing.

Beliau berkata, kerajaan juga memberi kelonggaran untuk mereka yang menaiki kenderaan enam tempat duduk untuk membawa enam penumpang, berbanding empat yang dibenarkan sebelum ini.

“Kita benarkan mereka yang naik motosikal untuk balik juga. Semalam, ada rayuan balik kampung dengan kenderaan enam penumpang, mereka kata kalau hanya dibenarkan empat saja, mereka ada enam orang, dua lagi kena tinggal.

“Pihak polis juga mempunyai budi bicara, di mana kenderaan yang mempunyai enam tempat duduk dibenarkan balik. Namun, semua pergerakan hanya boleh berlaku dalam empat hari saja.

“Kebenaran ini akan tamat 10 Mei (Ahad ini) saja. Ia hanya boleh berlaku di dalam tempoh pengecualian empat hari ini, sementara saja,” katanya pada sidang medianya, hari ini.

-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5464