Perkukuh kerjasama serantau tangani cabaran maritim – Setiausaha Agung ASEAN

Estimate Reading Time: < 1 minute

JAKARTA: Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn, menekankan keperluan mendesak untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam menangani cabaran maritim yang ketara di Asia Tenggara, termasuk ketegangan geopolitik yang semakin meningkat, serta ancaman alam sekitar.

-Advertisement-

Menerusi rakaman ucapannya pada Forum Geopolitik Jakarta Kelapan, Kim Hourn menggariskan dialog lebih erat, peningkatan kepercayaan, komitmen terhadap undang-undang antarabangsa, dan penyelarasan tindakan sebagai kunci tindak balas berkesan terhadap cabaran bersama.

“Kita mesti berpegang teguh kepada dedikasi memupuk dialog, kerjasama dan menyelesaikan pertikaian secara aman, bagi memastikan perairan kita menjadi sumber keamanan serta kemakmuran, bukannya medan ketidakstabilan, persaingan, konfrontasi dan konflik,” katanya.

-Advertisement-

Forum selama tiga hari itu yang berakhir hari ini, dianjurkan oleh Lembaga Ketahanan Nasional Indonesia dengan tema ‘Menangani Cabaran Ketahanan Geo-Maritim di Indo-Pasifik.’

Kim Hourn turut menekankan komitmen ASEAN untuk menyelesaikan pertikaian secara aman mengikut undang-undang antarabangsa, khususnya Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS) yang disifatkan beliau sebagai tonggak kestabilan rantau ini.

Beliau juga menekankan pentingnya mengaku bahawa banyak cabaran maritim seperti kemerosotan alam sekitar, jenayah maritim rentas sempadan, dan aktiviti penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan serta tidak terkawal (IUU), melangkaui sempadan negara

“Tindakan yang diselaraskan dalam hal ini bukan saja wajar, malah sangat penting,” katanya merujuk kepada ‘ASEAN Framework of Action on Marine Debris’.

Beliau berkata, menangani pencemaran plastik marin memerlukan usaha nasional yang mantap serta kerjasama serantau kerana sampah laut bergerak bebas merentasi sempadan.

Berhubung isu IUU dan lanun maritim pula, katanya, ia memerlukan usaha bersama pihak awam dan penguatkuasaan merentasi bidang kuasa.

“Pendekatan ASEAN yang menyeluruh memastikan cabaran bersama ini ditangani secara kolektif, dengan penyertaan aktif semua negara anggota, pihak berkepentingan dan rakan kongsi luar,” katanya.

Dengan 66 peratus kawasannya terdiri daripada perairan maritim, Asia Tenggara menjadi jaringan penting yang menghubungkan Lautan Pasifik dan Lautan Hindi, selain merupakan laluan penting bagi perdagangan global.
-BERNAMA
-Beritaharian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427