PERKESO bayar RM18 bilion untuk stabilkan pasaran buruh

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: PERKESO telah membayar lebih RM18 bilion dalam bentuk subsidi upah, elaun pencarian pekerjaan melalui insentif yang disediakan di bawah tujuh pakej rangsangan, setakat hari ini.

-Advertisement-

Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata bantuan kewangan itu setara dengan sekurang-kurangnya 1.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan disalurkan untuk menstabilkan pasaran buruh, berikutan kejutan ekonomi susulan penularan wabak COVID-19.

“PERKESO telah membangun strategi tiga serangkai, bermula dengan pengekalan melalui Program Subsidi Upah, pelepasan melalui elaun mencari pekerjaan (EMP) yang dilanjutkan dan Program Insentif Pengambilan pekerjaan,” katanya dalam ucaptama semasa simposium Regional Return to Work (RTW) PERKESO 2021 yang diadakan secara maya, hari ini.

Antara pendekatan dan inisiatif yang diambil PERKESO untuk memastikan sokongan emosi dan psikologi dapat diberikan ketika pandemik COVID-19, termasuk penubuhan pasukan bimbingan dan kaunseling yang dikenali sebagai Unit Sokongan Psikologi dan Kesejahteraan Sosial.

Unit ini secara khusus menangani masalah dan cabaran kesihatan mental yang meningkat secara drastik akibat pandemik COVID-19.

-Advertisement-

“Pandemik ini telah menyedarkan ramai orang mengenai betapa pentingnya menangani kesejahteraan psikologi, emosi, dan mental. Ini akan mewujudkan lebih banyak peluang bagi pasukan bimbingan dan kaunseling untuk menghubungi orang yang diinsuranskan PERKESO untuk bimbingan dan sokongan emosi, ” katanya.

PERKESO juga melaksanakan siri webinar yang bertujuan memberi kesedaran mengenai masalah emosi dan psikologi dan sokongan di tempat kerja.

“Siri webinar dijalankan mengikut zon geografi untuk memastikan bahawa kami dapat meningkatkan kesedaran ke setiap negeri seluruh negara.

Mohammed Azman berkata, talian utama kesejahteraan psikososial diwujudnya bertujuan memudahkan dan melancarkan penyampaian perkhidmatan tanpa mengira masa dan tempat, dengan sesiapa sahaja terutama individu yang diinsuranskan dapat berkongsi beban emosi mereka, masalah kehidupan seharian mereka, bahkan bertanya mengenai isu-isu mengenai kesihatan mental.

Pasukan kesejahteraan psikososial akan menawarkan sokongan dan bantuan psikologi melalui telesihat, katanya. – BERNAMA -BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427