SUNGAI BULOH, 15 OKTOBER 2022 (The Capital Post): SEMAKIN ramai dalam kalangan golongan belia tidak sanggup bekerja mengikut masa pejabat, dari jam 8 pagi hingga jam 5 petang, sebaliknya lebih rela menjadi ‘majikan sendiri’ yang kini lebih dikenali sebagai ekonomi gig.
Bagaimanapun, kerajaan lebih memberikan tumpuan kepada sektor e-hailing dan p-hailing hingga inisiatif dirancang lebih tertumpu membantu golongan itu, termasuk dalam pembentangan Bajet 2023, baru-baru ini.
Walaupun Bajet 2023 hanya sempat dibentangkan kerana Parlimen dibubarkan, inisiatif membantu belia dalam ekonomi gig perlu diteruskan blok parti yang menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan penambahbaikan sekiranya ada.
Ini termasuk penerusan Skim TEKUN Belia Mobilepreneur membabitkan bantuan pinjaman RM1,000 hingga RM10,000 dan tanggungan bayaran lesen di bawah program MyPSV, sekali gus membolehkan belia, terutama lepasan sekolah menengah, pelajar menunggu untuk meneruskan pengajian atau ingin pendapatan tambahan.
Inisiatif ini bersifat memberikan joran ikan, bukan menghulurkan ikan, sekali gus membantu mereka mencari pendapatan berterusan dan memberi impak jangka panjang.
Namun, langit tidak akan selalunya cerah, apatah lagi pendapatan bekerja sendiri bersifat tidak tetap dan mengikut musim atau kesihatan seseorang. Oleh itu, perlindungan keselamatan sosial diperlukan pekerja gig, terutama pemandu kereta dan penghantar makanan.
Sememangnya pekerja gig mengetahui kepentingan perlindungan keselamatan sosial, tetapi ramai tidak mampu atau sanggup membayar kosnya. Oleh itu, inisiatif kerajaan dalam Bajet 2023 mewajibkan pekerja gig mencarum dalam Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) sangat relevan.
Bagi mengurangkan beban, subsidi sebanyak 80 peratus daripada jumlah caruman diberikan, iaitu bermula RM13 hingga RM49. Dengan bantuan subsidi itu, pencarum hanya perlu membayar RM2.60 hingga RM10 sebulan, iaitu berjumlah kos sarapan pagi sahaja.
Tambah baik Skim i-Saraan KWSP
Kerajaan juga membuat penambahbaikan dalam inisiatif Skim i-Saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membantu golongan bekerja sendiri mempunyai persediaan simpanan mencukupi, terutama jaminan kelangsungan kehidupan pada hari tua.
Skim i-Saraan ditambah baik daripada caruman padanan maksimum RM250 hingga RM300 atau 15 peratus peratus setahun. Bagi mendapat manfaat ini, pekerja sendiri mesti mencarum lebih RM2,000 setahun atau RM167 sebulan (caruman sama pekerja bergaji minimum RM1,500 sebulan pada kadar 11 peratus).
Namun, jumlah RM167 tinggi untuk pekerja gig, terutama penghantar makanan dan barangan, malah ramai pekerja sendiri pun tidak mencarum dalam skim i-Saraan KWSP.
Pada Julai lalu, Menteri Kewangan memaklumkan 599,000 daripada 2.23 juta pekerja sendiri mendaftar dalam skim i-Saraan KWSP. Ini bermakna hanya 27 peratus pekerja sendiri berdaftar menjadi pencarum, iaitu dengan nisbah satu daripada empat.
Statistik ini juga menunjukkan KWSP perlu mempergiatkan aktiviti promosi dan kesedaran, malah kerajaan nanti boleh menimbang menjadikannya sebagai skim wajib seperti SKSPS untuk membolehkan ramai pekerja gig mempunyai persediaan simpanan hari tua.
Caruman sebanyak RM2,000 setahun sebenarnya tidak memadai untuk simpanan hari tua, tetapi inisiatif ini ialah permulaan baik untuk menggalakkan simpanan hari tua.
Bagaimanapun, inisiatif terbabit hanya bersifat jangka pendek kerana kita tidak mahu melihat belia menjadikan pekerjaan e-hailing atau p-hailing sebagai kerjaya jangka panjang.
Ekosistem e-hailing dan p-hailing tidak mampu memberikan manfaat jangka panjang kerana pekerja dalam sektor ekonomi gig tidak boleh bekerja selama-lamanya sebagai pemandu.
Kajian penyelidik tempatan seperti Doris Liew, mendapati mereka bekerja sebagai p-hailing atau e-hailing akan terperangkap dalam perangkap pendapatan rendah dalam jangka panjang, melainkan jika meningkatkan kemahiran dalam bidang kerjaya lain.
Ini akan mengulangi seperti apa berlaku pada zaman penjajahan hingga 1970-an apabila pemandu kereta persendirian biasanya dipanggil sebagai ‘Ahmad.’ Pada masa itu, ramai orang Melayu menjadi pemandu persendirian majikan kaya sehingga dialek nama Ahmad dalam dialek orang Tionghua sinonim dengan pemandu kereta persendirian untuk orang mampu mengaji pemandu persendirian.
Malah, dalam jangka panjang, pekerjaan e-hailing dan p-hailing juga mungkin akan semakin berkurangan apabila teknologi dron mengambil alih kerja penghantaran barang dan kereta automatik mengambil alih kerja pemandu kereta.
Penggunaan dron dan kereta automatik sudah mula diperkenalkan di negara maju beberapa tahun lalu, yang pasti teknologi berkenaan akan sampai ke Malaysia pada masa terdekat. Ini menyebabkan pekerja gig ekonomi dalam e-hailing dan p-hailing berdepan risiko kehilangan sumber nafkah hidup.
Dalam kata lain, inisiatif seperti Tekun Belia Mobilepreneur dan program MyPSV memang sangat diperlukan belia B40 sebagai titik permulaan mencari pendapatan, tetapi mereka mesti digalakkan mencari kemahiran untuk menjadi pekerja mahir dalam jangka panjang.
Inisiatif galak anak muda berniaga
Oleh itu, inisiatif galakan anak muda berniaga diperlukan seperti dicatat dalam Bajet 2023 yang perlu diberikan perhatian parti yang menang nanti. Dalam bajet itu, RM305 juta diperuntukkan dengan kemudahan pinjaman khusus untuk belia melalui SME Bank, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, MARA, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Agrobank di bawah Skim Penjaja Muda Keluarga Malaysia.
Ramai belia kita sanggup mengambil risiko perniagaan, tetapi mereka memerlukan kursus praktikal untuk mengetahui cara berniaga, mengurus wang, stok perniagaan dan pekerja.
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu aktif mempromosikan dan mengadakan kursus seperti ini untuk membantu mereka menjadi usahawan berjaya. Belia akan mendapat lebih manfaat jika bantuan pinjaman turut dilengkapi modul latihan perniagaan kerana kejayaan diukur dari segi kelestarian perniagaan untuk jangka panjang.
Inisiatif lain dalam Bajet 2023 perlu diberikan perhatian kerajaan baharu nanti juga ialah inisiatif menyasarkan sekurang-kurangnya 55 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan melanjutkan pengajian dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) menjelang 2025.
Selaras agenda memperkasa TVET diterajui Majlis TVET Negara (MTVET), sejumlah RM6.7 bilion disediakan di bawah tujuh kementerian utama melaksanakan pelbagai inisiatif. Peruntukan ini jika diurus dengan baik, kita akan mampu mencapai negara berpendapatan tinggi dengan ramai pekerja mahir dalam lima tahun akan datang untuk mengangkat Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi.
Realitinya, usaha mencapai matlamat negara maju dan berpendapatan tinggi ini bukan hanya bergantung kepada bantuan kewangan, sebaliknya disokong strategi memperkasakan belia sebagai pekerja ekonomi gig mahir.
Kita tidak boleh hanya memikirkan intervensi ekonomi gig dalam industri e-hailing atau p-hailing, sebaliknya berusaha memperkasakan mereka sebagai pekerja berkemahiran tinggi. Kita tidak mahu belia kita menjadi ‘Ahmad’ pemandu kereta, sebaliknya seperti Bill Gates, Elon Musk, Jeff Bezos, Steve Jobs dan Sergey Brin menakluk global perniagaan.
Peck Leong adalah Profesor di Arshad Ayub Graduate Business School, Universiti Teknologi MARA (UiTM), manakala Mohd Safwan adalah Pengarah Pusat Pembangunan dan Pendidikan Keusahawanan (CEED), Universiti Malaysia Kelantan (UMK)
-BH