PUTRAJAYA, 10 OKT 2022 ( The Capital Post) – Perdana Putra di sini yang menempatkan pejabat rasmi Perdana Menteri menjadi tumpuan sama ada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan membuat pengumuman pembubaran Parlimen untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hari ini.
Spekulasi bahawa Parlimen akan dibubarkan dalam masa terdekat bertiup kencang apabila Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara kali kedua dalam tempoh empat hari, semalam.
Pengamal media sudah mula berkampung di hadapan pintu protokol bangunan berkenaan sejak jam 8 pagi, bagi menantikan pergerakan Perdana Menteri dan mendapatkan perkembangan terkini.
Pintu protokol yang lazimnya ditutup pada cuti umum namun dilihat dibuka menimbulkan tanda tanya adakah akan ada pengumuman penting daripada Datuk Seri Ismail Sabri hari ini.
Hasil semakan pihak media dan difahamkan, Perdana Menteri tidak mempunyai sebarang program rasmi di sebelah pagi hari ini.
Namun, Ahli Parlimen Bera itu dijadual menghadiri Perhimpunan Agung Kongres India Malaysia (MIC) ke-76 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada jam 2.30 petang.
Selain itu, Datuk Seri Ismail Sabri juga dijangka menghadiri mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam ini, dipercayai bagi memperinci persiapan PRU15 serta memuktamadkan bentuk kerjasama dengan PAS pada PRU kelak. – The Capital Post