BEIJING, 31 Mar 2023 (The Capital Post): Datuk Seri Anwar Ibrahim optimis Malaysia mampu meraih lebih banyak kemajuan dalam hubungan dua halanya dengan China selepas ini.
Perdana Menteri berkata, ia tidak sekadar terhad kepada kemajuan dalam bidang ekonomi, pelaburan dan perdagangan, bahkan akan diperluas ke peringkat universiti di kedua-dua negara.
“Esok, saya akan umumkan selepas bertemu dengan Presiden China, Xi Jinping, hari ini dan Perdana Menteri China, Li Qiang, esok, kemajuan besar berkaitan hubungan dua hala Malaysia dan China, yang menyentuh ekonomi, pelaburan, perdagangan dan juga kerjasama dengan universiti.
“Saya harap kamu dapat beri kerjasama yang terbaik. Saya perlu sokongan presiden, saya perlu sokongan profesor dan pelajar untuk menjayakan misi ini,” katanya ketika menyampaikan syarahan umum di Universiti Tsinghua, di sini, hari ini.
Terdahulu, ketibaan Anwar bersama delegasinya ke universiti berkenaan disambut Setiausaha Parti CPC, Universiti Tsinghua, merangkap Pengerusi Majlis Universiti Tsinghua, Profesor Qiu Yong.
Kira-kira 290 pelajar Malaysia menuntut di universiti berkenaan untuk pelbagai bidang pengajian.
Dalam kunjungan selama dua jam itu, Anwar juga bertemu dan beramah mesra dengan pelajar Malaysia, selain menandatangani buku pelawat universiti dan bergambar bersama kakitangan serta pelajar di universiti berkenaan.
Mengulas lanjut, Anwar yakin, kepemimpinan Jinping dan Qiang akan memperbanyakkan peluang membina kerjasama dua hala dengan negara serantaunya, khususnya dengan Malaysia.
“Kami negara yang terbuka dan kami menentukan apa yang terbaik untuk negara kami.
“Kami menentukan bersandarkan kekuatan nilai serta prinsip bagi memastikan tadbir urus yang baik dan setiap dasar dilaksanakan, dapat memberi manfaat kepada negara serta rakyat,” katanya.
Anwar kemudiannya menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 300 jemaah di Masjid Dongsi Beijing, di sini dan melawat perpustakaan mini yang ditempatkan di masjid itu.
Anwar kini dalam rangka lawatan rasmi empat hari ke China hingga Sabtu, dengan beberapa pertemuan penting mengiringi jadual padatnya di sini.
Petang ini, beliau dijadual bertemu Jinping, diikuti pertemuan dan mesyuarat dengan rakan sejawatannya, esok.
-BH
(The Capital Post)