Perancangan penuhi 6 rukun MADANI pacu pertumbuhan negara

Estimate Reading Time: 3 minutes

SELEPAS pembentangan Belanjawan 2024, banyak pihak memberi pujian dan tidak kurang mengkritik secara konstruktif elemen seperti percukaian, bantuan tunai, kos baik pulih infrastruktur, isu gaji progresif, kurangnya projek pembangunan mega dan seumpamanya.

-Advertisement-

Terdapat kritikan agak pedas dengan melabelkan belanjawan kali ini tiada hala tuju jelas, terutama memacu ekonomi rakyat. Segelintir ahli politik pula menyatakan belanjawan ini tidak memaparkan formula ampuh membaik pulih ekonomi domestik yang masih suram dan masih cedera akibat ‘diserang’ COVID-19 dan krisis geopolitik global.

Bagaimanapun, sesuatu yang menarik jika Belanjawan 2024 ini dianalisis secara deskriptif dalam konteks idea besar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu rukun MADANI. Naratif MADANI dengan enam rukun mendasarinya diserlahkan secara eksplisit dan implist oleh Perdana Menteri.

Belanjawan 2024 menyatu dari segi fokus dan matlamatnya iaitu untuk meningkatkan kesejahteraan hidup, sosial dan darjat rakyat, kesaksamaan dalam agihan ekonomi dan kekayaan, kemampanan pekerjaan, pendapatan dan keselamatan sosial serta penjanaan ekonomi negara menerusi pelaburan dan peningkatan produktiviti.

Istimewanya, tema dan kandungan Belanjawan 2024 dipadankan dengan tiga kerangka asas Ekonomi MADANI iaitu tata kelola terbaik demi ketangkasan perkhidmatan, penstrukturan ekonomi demi melonjakkan pertumbuhan dan peningkatan darjat hidup rakyat.

Inisiatif, program dan pendekatan Belanjawan 2024 disulam kukuh enam rukun MADANI iaitu kesejahteraan, keyakinan, kemampanan, hormat, daya cipta dan ihsan. Berbekalkan enam rukun ini ia diharap dapat merealisasikan tema Belanjawan 2024 iaitu ‘Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat’.

Kemampanan

Dalam Belanjawan 2024, pelbagai inisiatif, program dan projek direncanakan seperti mengurangkan kos hidup, mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan daya saing global dan menyokong iklim pelaburan kondusif bertujuan mewujudkan ekosistem kehidupan mampan.

Bagi mencapai kemampanan ekonomi rakyat dan negara pada 2024, kerajaan telah menyuntik dana besar bagi subsidi mencecah RM81 bilion. Bagi merancakkan ekonomi dan iklim pelaburan kondusif, pelbagai inisiatif diperkenalkan.

Kesejahteraan

Boleh dikatakan, sebahagian besar inti pati Belanjawan 2024 adalah untuk mencapai garis dan titik kesejahteraan semua lapisan rakyat. Ia dapat dilaksanakan menerusi reformasi ekonomi antaranya meningkatkan pelaburan domestik langsung (DDI) dan luar (FDI) sehingga RM95 bilion.

Ia termasuk mewujudkan peluang pekerjaan dengan gaji progresif RM4,510 menjelang 2030, menurunkan kadar inflasi, memastikan keperluan makanan mencukupi, menstabilkan harga barangan keperluan, elektrik dan bahan api serta menyalur agihan, bantuan dan subsidi kepada golongan memerlukan dengan berkesan.

Bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat berpendapatan rendah, sejumlah RM58.1 bilion diperuntukkan dan 50 peratus daripadanya bertujuan menstabilkan harga barangan keperluan harian.

Belanjawan 2024 turut menekankan rekayasa dalam sektor perladangan dan komoditi seperti kelapa sawit serta getah yang akan memberi kemampanan hidup kepada pekebun kecil.

Penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air di beberapa negeri dan wilayah menjadi agenda utama bagi memenuhi agenda kesejahteraan rakyat. Ia termasuk perluasan projek tebatan banjir dan mitigasi bencana di kawasan berisiko di seluruh negara membabitkan peruntukan RM11.8 bilion.

-Advertisement-

Daya cipta

Pada 2023, Indeks Persaingan Global Malaysia berada pada kedudukan ke-27. Ia berpotensi ditingkatkan kepada kedudukan ke-15 menjelang 2030 dengan inisiatif daya cipta meyakinkan dalam Belanjawan 2024.

Dalam Belanjawan 2024 Perdana Menteri amat menekankan domain daya cipta, meningkatkan potensi modal insan mahir dan dan berdaya saing, program pembangunan bakat menerusi latihan dan pendidikan.

Beberapa inisiatif terkait reformasi ekonomi khususnya dalam bidang pertumbuhan bernilai tinggi (HGHV) seperti kepintaran buatan (AI) mampu melonjakkan daya cipta negara pada masa hadapan.

Reformasi pendidikan, menaik taraf kemahiran, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sokongan penyelidikan dan pembangunan (R&D), inovasi dan komersialisasi, potongan cukai dan tarif berpatutan kepada penggiat industri domestik dan luar, pemerkasaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan pengantarabangsaan syarikat pemula dijangka mampu mencapai hasrat negara berdaya cipta.

Hormat

Dalam konteks belanjawan misalnya, Ikhtiar 11 iaitu memperkukuhkan perpaduan dan keselamatan negara antara perkara diberi keutamaan. Dalam aspek ini, perkara diberi tumpuan bagi mewujudkan rasa hormat orang lain atau pihak luar antaranya mempertingkatkan syiar Islam menerusi program bersepadu seperti dakwah, pendidikan agama, integrasi tahfiz dan kemahiran hidup, penjanaan ekonomi Islam, sekuriti Islam, hab halal dan pemerkasaan undang-undang keluarga.

Sistem pertahanan dan keselamatan juga menjadi pelengkap rasa hormat pihak luar terhadap negara dan menjadi keutamaan dalam Belanjawan 2024. Budaya, bahasa, kesusasteraan dan sukan antara wahana penting memupuk rasa hormat, kerjasama, penerimaan dan patriotisme rakyat terhadap pengukuhan jati diri negara bangsa.

Keyakinan

Dalam konteks Belanjawan 2024, kerajaan membawa ‘mesej keyakinan’ menerusi Ikhtiar 1 iaitu Komitmen Reformasi Fiskal. Bagi meningkatkan integriti dan akauntabiliti tata kelola, kerajaan memperkenalkan beberapa reformasi termasuk meluluskan Akta Tanggungjawab Fiskal 2023 (FRA) dan Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR).

Konsep ‘keyakinan’ ini menjadi pencetus perubahan kepada reformasi diperkenalkan Kerajaan Perpaduan. Justeru, berdasarkan kelemahan dan kelompangan dalam sistem tata kelola dan penyampaian dalam belanjawan sebelum ini, Belanjawan 2024 akan memberi tumpuan khusus memperkasa dan menambah baik sistem penyampaian kerajaan terutama membabitkan pendigitalan, penguatkuasaan, pemantauan dan reformasi undang-undang.

Ihsan

Pelbagai inisiatif, program dan projek dalam Belanjawan 2024 bersifat ‘ihsan’ iaitu menyantuni hampir semua golongan terutama B40, M40, orang kurang upaya (OKU), belia, wanita, kanak-kanak, banduan, pelarian, warga emas dan pelajar.

Dapat dilihat, enam rukun MADANI terbabit disulam begitu baik, cermat dan berhemah oleh Perdana Menteri dalam Belanjawan 2024. Namun, kesemua rukun terbabit akan luntur, pudar dan tenggelam sekiranya ketirisan, rasuah, penyelewengan dan ketidakcekapan sistem penyampaian tidak ditangani dengan berkesan.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427