SHAH ALAM- Pemain tengah, Khyril Muhymeen Zambri muncul wira Selangor apabila dua jaringannya berjaya membawa skuad Red Giant ke separuh akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Perak 3-1 pada aksi suku akhir kedua di Stadium Shah Alam di sini, malam ini.
Kemenangan itu membolehkan Selangor menyingkirkan Perak yang merupakan juara bertahan dengan keputusan agregat 3-2 dan bakal berdepan juara Liga Super 2019, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Dua gol dijaringkan Khyril Muhymeen hadir pada minit ke-45 dan minit ke-67 selepas Mohd Syazwan Zainon meletakkan skuad kendalian ketua jurulatih, B.Sathianathan di depan menerusi gol pembukaan pada minit ke-33.
Skuad The Bos Gaurus yang tertekan cuba bangkit di separuh masa kedua permainan dengan melancarkan serangan ke kubu pertahanan tuan rumah, namun berjaya meledak hanya satu gol pada minit ke-83 menerusi pemain kebangsaan, Brendan Gan.
Juara 2016, Kedah melakar kemenangan bergaya di laman sendiri menewaskan PKNP FC 4-1 pada aksi di Stadium Darul Aman, Alor Setar untuk mengesahkan tempat di saingan separuh akhir dengan keputusan agregat 6-2.
Skuad Lang Merah membuka tirai jaringan menerusi Muhammad Farhan Roslan pada minit ke-24 diikuti gol kedua Kedah hasil penyudah penyerang import dari Argentina Jonathan Jesus Bauman seminit kemudian.
Pemain tengah, David Rowley meledak gol ketiga Kedah pada minit ke-71 sebelum Mukhairi Ajmal Mahadi mengurangkan defisit jaringan buat PKNP FC pada minit ke-80, namun Mohammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin melengkapkan malam gemilang Kedah menerusi gol keempat pada minit ke-90.
Menanti Kedah di separuh akhir adalah juara sebanyak empat kali, Pahang yang menewaskan Melaka 3-1 sekali gus mencatat kemenangan agregat 6-1 pada aksi di Stadium Darul Makmur, Kuantan.
Pahang terpaksa menunggu sehingga minit ke-41 untuk memecah kebuntuan menerusi penyerang kelahiran Namibia, Lazarus Kaimbi sebelum Mohd Nazrin Mohd Nawi menyamakan kedudukan buat Melaka pada minit ke-54.
Penyerang import sensasi Pahang, Dickson Nwakaeme menjadi wira pasukan apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-65 dan minit ke-76 sekali gus mengubat kekecewaan gagal mara ke separuh akhir musim lalu selepas kecundang di tangan JDT.-Bernama