KOTA BHARU: Terpengaruh dakwaan wujudnya tiga agenda tersembunyi dikaitkan dengan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), menyebabkan sebahagian penjawat awam masih ragu untuk menandatangani skim itu yang akan berkuat kuasa 1 Disember ini.
Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat, berkata dakwaan itu ditularkan menerusi media sosial membawa pengaruh negatif dalam kalangan penjawat awam.
“Antara lain, kandungan yang tular itu mendakwa apabila memilih SSPA, penjawat awam diwajibkan bekerja hingga usia 60 tahun dan tidak boleh memilih untuk bersara lebih awal.
“Selain itu, skim berpencen juga akan berubah dan pada masa sama, pengambilan vaksin adalah wajib sedangkan semua dakwaan itu adalah tidak benar,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Madani Penjawat Awam CUEPACS Negeri Kelantan Tahun 2024 hari ini. Yang turut hadir, Pengerusi CUEPACS Kelantan, Aminuddin Awang.
Adnan berkata, kesemua dakwaan berkenaan sepatutnya tidak menjadi isu kerana CUEPACS sudah mengadakan bengkel serta mengkaji SSPA dan mendapati ia sebenarnya tiada apa-apa agenda tersembunyi, melainkan tujuannya untuk kenaikan gaji kepada penjawat awam.
“Sebaik sudah dimaklumkan maklumat yang tepat, mereka boleh membuat pilihan tetapi sekurang-kurangnya berilah peluang dan buka minda untuk mengetahui perkara yang benar mengenai SSPA.
“Justeru saya memohon penjawat awam supaya menerima SSPA untuk kenaikan gaji yang lebih baik dan mereka masih ada masa tiga hari lagi untuk mengubah fikiran, membuat pilihan yang tepat dengan menandatangani SSPA,” katanya.
Mengulas lanjut, Adnan berkata daripada 200,000 penjawat awam yang belum menandatangani SSPA, lebih 700 individu membabitkan kakitangan Kementerian Pendidikan.
Media semalam melaporkan, sebanyak 15 peratus atau 200,000 penjawat awam belum menandatangani SSPA walaupun tempoh opsyen selama 40 hari yang diberikan untuk mereka berbuat demikian akan berakhir 30 November ini.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, dilaporkan berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang bertungkus-lumus memastikan baki 15 peratus penjawat awam bertukar ke skim baharu itu.
Pada 13 September lalu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dilaporkan berkata penjawat awam mempunyai tempoh opsyen selama 40 hari bermula 21 Oktober hingga 30 November ini untuk memilih sama ada SSPA atau kekal dengan Sistem Saraan Malaysia (SSM), sebelum ia berkuat kuasa 1 Disember ini.
-BeritaHarian