Pengeksportan Orkid Mokara ke Dubai penanda aras industri orkid negara

Estimate Reading Time: 2 minutes

SEPANG: Pengeksportan orkid dalam bentuk kotak hadiah premium menerusi 270 Kotak Hadiah Premium Orkid Mokara ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sempena Festival Gulfood 2024 bakal menjadi satu penanda aras dalam industri orkid negara.

-Advertisement-

Bunga orkid varieti Mokara yang diterbangkan pada semalam merupakan hala tuju penting kepada projek Ladang Eksport Orkid Dubai (LEOD) dalam merealisasikan pengeksportan komoditi bernilai tinggi ke pasaran Asia Barat.

LEOD adalah projek rintis yang melibatkan tiga ladang dengan keluasan 29.14 hektar iaitu LEOD Lukut, Linggi dan Sepang.

Ketika ditemui Bernama, Ketua Unit Industri Florikultur (Bahagian Pembangunan Industri Florikultur), Jabatan Pertanian Malaysia (DOA) Mohamad Nizam Malik berkata meskipun mendapat permintaan yang tinggi, usaha untuk mempromosikan produk orkid tetap diteruskan.

-Advertisement-

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelepasan Projek Rintis Eksport Kotak Hadiah Premium Orkid Mokara ke Dubai, di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, Sabtu lepas.

Susulan itu, Mohamad Nizam berkata majlis promosi yang dijadual diadakan pada 21 Feb di festival berkenaan dapat mengetengahkan produk pertanian tempatan bagi memenuhi permintaan daripada sektor pelancongan dan perhotelan di Dubai yang memerlukan daya tarikan unik dan ekslusif untuk pengunjung.

Selain itu, katanya pengeskportan orkid ke Dubai juga mudah kerana tidak memerlukan sebarang rawatan kuarantin dan hanya perlu memenuhi syarat sijil fitosanitasi (PC) yang dikeluarkan oleh DOA agar menepati kualiti eksport tanaman.

“Secara tradisinya orkid dieksport ke Singapura, Hong-Kong dan Jepun. Namun begitu, risiko kepada pengeluar amat tinggi kerana kemasukannya perlu mematuhi syarat kuarantin yang ketat terutama dari segi rawatan kuarantin lepas tuai orkid, tetapi tidak (syarat kuarantin ketat) ke Dubai,” katanya yang juga penasihat projek LEOD itu.

Sementara itu, program pelepasan orkid untuk percubaan eksport ke Dubai itu turut dijayakan oleh Orchidmas Sdn Bhd dari segi penjenamaan dan pembungkusan kotak premium Orkid Mokara itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Orchidmas Shiz Kassim berkata operasi penghantaran sangat mencabar terutamanya bagi memastikan orkid yang dibungkus secara ekslusif dalam kotak berwarna emas itu tahan segar sekurang-kurangnya dalam tempoh 14 hari.

“Dari segi pembungkusan, kami turut memikirkan keselesaan pembeli. Maka, kami telah menjadikan produk ini ‘ready to display’ atau sedia untuk dipamerkan.

“Dengan konsep ini kita perlu melihat bahawa pendekatan jualan secara keratan seperti cara tradisional untuk eksport orkid ini perlu ditransformasikan kepada yang mempunyai nilai tambah dalam bentuk ‘gift-box’ atau kotak hadiah yang dapat meningkatkan nilai keratan orkid itu menjadi sebuah kotak hadiah premium,” katanya.

Setiap kotak mengandungi pasu berisi cecair sodium polyacrylate bagi menggantikan air dan dua keratan Orkid Mokara yang boleh tahan segar sekurang-kurangnya untuk tempoh dua minggu manakala penghantaran dilakukan menggunakan perkhidmatan penerbangan Emirates yang berlepas pada 1.45 pagi.

Terdapat lebih kurang 24,000 spesies orkid di seantero dunia dan 6,000 spesies di Asia manakala di Malaysia terdapat lebih 1,000 spesies dengan satu daripadanya adalah varieti Mokara.

Mohamad Nizam berkata berdasarkan pemerhatian DOA, Orkid Mokara sangat sesuai dijadikan bunga keratan untuk pasaran tempatan dan eksport kerana keratannya tahan lebih lama iaitu selama 14 hari.

Selain itu, pengeluaran Orkid Mokara yang ditanam di sini lebih berkualiti dari segi panjang tangkai dan jumlah bunga berbanding negara jiran seperti Thailand berikutan iklim di Malaysia lebih sesuai untuk pengeluaran orkid dan memenuhi keperluan kualiti eksport.

Sebelum ini dilaporkan bahawa hasil eksport orkid mampu menyumbang sebanyak RM4 bilion kepada industri florikultur di Malaysia kerana mendapat permintaan yang tinggi dari negara luar.

-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427