‘Pendapatan penoreh lebih kecil, tak menentu’

Estimate Reading Time: 2 minutes

Kuala Berang: Faktor pendapatan tidak menentu untuk menyara diri dan keluarga, membuatkan generasi muda tidak tertarik hati untuk bekerja sebagai penoreh getah.

-Advertisement-

Buruh binaan, Muhammad Hakimi Yahya, 23, dari Kampung Paya Besar, di sini, berkata, pendapatan tidak menentu selain bergantung kepada musim mendorongnya tidak mahu berkecimpung dalam sektor itu.

Katanya, pendapatan sebagai penoreh getah juga kecil jika dibandingkan dengan kerja kampung lain yang dianggap mendapat pulangan setimpal.

“Menoreh getah bergantung kepada cuaca, selain harga pula murah. Kerja kontrak sebagai buruh binaan sentiasa ada dan gaji juga boleh dikatakan lumayan dan bolehlah menampung perbelanjaan harian saya.

“Kalau menoreh getah milik orang lain sudah tentu hasilnya perlu dibahagikan mengikut persetujuan dan dengan harga pasaran getah yang murah sudah tentu pulangan tidak seberapa,” katanya.

Rakannya, Mohd Nasir Salleh, 43, berkata, dia juga memilih untuk melakukan kerja kontrak kerana pendapatan boleh dikatakan sentiasa ada, jika dibandingkan dengan menoreh getah.

“Saya ada anak dan isteri yang perlu disara oleh itu pendapatan secara mingguan dan bulanan amat perlu untuk menguruskan keluarga.

-Advertisement-

“Kalau saya menoreh getah sudah tentu pendapatan yang akan saya peroleh tidak menentu kerana sekiranya hujan atau banjir kerja menoreh tidak dapat dilakukan dan secara tidak langsung saya hilang punca pendapatan,” katanya.

Justeru, memilih kerja yang pasti akan memperoleh sumber kewangan adalah amat perlu bagi dirinya yang sudah berkeluarga.

Mohd Nasir berkata, bapanya adalah pekebun kecil getah, namun dia tidak mengikut jejak langkah bapanya memandang sekarang pelbagai pekerjaan boleh dilakukan untuk mendapatkan sumber pendapatan lebih tinggi berbanding menoreh getah.

Sementara itu pekebun kecil getah, Abdul Wahab Mat Zin, 74, mengakui golongan muda kini tidak meminati kerja menoreh.

“Saya faham mereka (generasi muda) beralih melakukan kerja lain kerana pendapatan harian mereka lebih tinggi dan tidak seperti kerja menoreh yang diibaratkan cukup makan.

“Kalau hujan memang tidak dapat ke kebun sedangkan mereka mahukan sumber kewangan untuk menyara diri dan keluarga,” katanya.

Katanya, hasil jualan getah juga tidak begitu memberangsangkan untuk menarik minat golongan muda menceburi bidan itu dan kini yang tinggal kebanyakan adalah golongan berusia.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427