KUALA LUMPUR: Kerajaan yakin sasaran pendapatan isi rumah sebanyak RM10,000 sebulan menjelang 2025 mampu dicapai berikutan pelbagai strategi yang diperkenalkan untuk memulih dan memperkukuh asas ekonomi terutama melalui pelaksanaan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) turut menggariskan langkah merapatkan jurang ekonomi antara Lembah Klang dengan Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, RMK-12 jelas meletakkan pelbagai langkah yang sentiasa menjadi dasar belanjawan tahunan serta langkah khusus yang memberi kehidupan kepada aspirasi jangka masa panjang lain.
Katanya, fokus kepada ESG dan kemampanan adalah tepat pada masanya ketika negara sedang menavigasi landskap belum pernah berlaku sebelum ini yang boleh membawa kepada ketidaksamaan sosial dan jurang kekayaan melebar.
“Semua risiko ESG ini diburukkan lagi oleh COVID-19, yang dalam dua tahun kebelakangan ini menghalang banyak kemajuan pembangunan negara.
“Bagi mencapai matlamat ini, kita mesti menjadi lebih tangkas dan cekap, serta menerima dan menggabungkan ESG ke dalam penggubalan dasar dan operasi perniagaan.
“Kerajaan juga telah membina hala tuju sosio-ekonomi negara yang lebih berdaya tahan bergerak ke hadapan,” katanya dalam ucaptama ketika Persidangan Akauntan Antarabangsa Institut Akauntan Malaysia (MIA) 2022 secara maya, hari ini.
Tengku Zafrul berkata, MOF juga telah mengutamakan beberapa strategi bagi memacu pembinaan negara yang mampan seperti memperkukuh pembiayaan berkaitan kemampanan dengan menyelaraskan inisiatif dan memperkasakan program berkaitan ESG.
Beliau berkata, di peringkat kementerian dan negara, melalui belanjawan tahunan secara khususnya, MOF menandakan semua program dan projek di bawah perbelanjaan pembangunan kepada ESG.
“Tidak ramai yang menyedari Malaysia adalah antara 10 negara di dunia yang telah menjajarkan sepenuhnya langkah belanjawan negara untuk ESG,” katanya.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, kerajaan tidak lupa memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan ESG, memandangkan sektor itu adalah penyumbang utama kepada ekonomi
dan menggaji hampir 50 peratus tenaga kerja negara.
Beliau berkata, melalui prinsip untuk Tadbir Urus Baik (PGG) yang akan dilaksanakan oleh Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), kerajaan menyasarkan untuk memangkinkan penerimaan prinsip ESG oleh PKS.
Katanya, secara terkumpul enam ESG menguruskan RM1.7 trilion aset dan menyokong ekosistem yang besar terdiri daripada PKS.
“Pelaksanaan PGG akan melengkapkan ekosistem GLIC-PKS untuk pertumbuhan permintaan pasaran dan pelaburan berkaitan ESG global.
“Belanjawan 2022 juga menyediakan langkah pembiayaan khusus untuk menyokong PKS dalam menyepadukan prinsip ESG ke dalam operasi mereka.
“Selain itu, kerajaan melalui MOF turut menginstitusikan ESG melalui penubuhan Tabung Amanah Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia dengan kerjasama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Malaysia,” katanya.
-BH