KUALA LUMPUR: Pempengaruh yang popular dengan kandungan suasana kampung di media sosial, Nazirul Hakim meninggal dunia pada malam Khamis.
Berita pemergian Allahyarham Nazirul atau nama sebenarnya Muhammad Nazirul Hakim Arman, 29 dikongsi rakannya di platform X.
“Pada yang mengenali Nazirul Hakim atau lebih dikenali iamNazirul di media sosial, dia telah kembali ke Rahmatullah sebentar tadi. Al-Fatihah,” tulisnya.
Sementara itu, sahabat Allahyarham yang juga pempengaruh, Akhi Fairuz turut mengesahkan pemergian Nazirul akibat jangkitan kuman.
“Telah pergi sahabat saya @iamnazirul ke negeri abadi jam 10 lebih malam tadi. Dari awal Disember beliau telah dimasukkan ke hospital akibat jangkitan kuman,” katanya.
Allahyarham popular sebagai pempengaruh yang menghasilkan kandungan memaparkan suasana kehidupan kampung dan keindahan seni bina tradisional Melayu, pekan-pekan kecil hingga mendapat perhatian masyarakat dalam dan luar negara.
-BeritaHarian