Pemilik rumah Bandar Sungai Buaya terima geran selepas 24 tahun menanti

Estimate Reading Time: 2 minutes

HULU SELANGOR: Penantian 24 tahun penduduk Bandar Sungai Buaya untuk memiliki geran hak milik rumah berakhir apabila mereka menerima geran masing-masing, semalam.

-Advertisement-

Dokumen itu diterima 730 pemilik rumah pada majlis di Pejabat Operasi Murna Jaya Development Berhad (MJDB), pemilik asal berdaftar tanah di Bandar Sungai Buaya seluas kira-kira 800 hektar, di sini. Majlis disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Bandar Sungai Buaya (GNBSB), Datuk Ruslee Hashim, berkata perkembangan menggembirakan itu hasil perjuangan penduduk untuk mendapatkan hak milik individu membabitkan lebih 3,500 rumah di kawasan berkenaan.

“Perkara ini tertangguh sekian lama disebabkan pemaju asal. Usaha yang dilaksanakan dengan kerjasama MJDB pada mulanya kurang mendapat sambutan, namun selepas berusaha meyakinkan pemilik rumah, mereka akhirnya akur dan bersetuju untuk memberi kerjasama penuh.

“GNBSB berusaha menyampaikan maklumat dan pencerahan kepada penduduk sejak tiga tahun lalu, kerap mengadakan pertemuan bersama MJDB untuk membantu menyelesaikan masalah,” katanya.

Ruslee dan pemilik rumah lain melahirkan rasa syukur kerana sebelum ini terbeban dengan pelbagai isu, memiliki rumah namun tiada geran, sekali gus menyukarkan mereka jika mahu memindahkan hak milik atau menyerahkan kediaman kepada anak.

-Advertisement-

“Sukar untuk lakukan proses jual beli memandangkan kebanyakan bank mengelak untuk berurusan atau meluluskan pinjaman tanpa geran individu. Bila dapat geran daripada kerajaan negeri, urusan akan jadi mudah berbanding dulu,” katanya yang menetap di kawasan itu sejak 20 tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MJDB, Amirul Fahmi Ahmad, berkata pihaknya bekerjasama dengan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor, Pejabat Tanah dan Galian Selangor, Jabatan Insolvensi Malaysia, Majlis Perbandaran Hulu Selangor dan Kerajaan Negeri Selangor untuk menyelesaikan isu berkenaan.

“Demi menyelesaikan masalah, kami terpaksa melangsaikan hutang membabitkan cukai tanah tertunggak kepada pihak berkuasa, kos ukur kesemua lot-lot individu, caruman parit dan sebagainya bagi memastikan 3,580 pemilik individu atau syarikat mendapat surat hak milik masing-masing,” katanya.

Katanya, MJDB membantu menanggung dua pertiga daripada kos sebenar yang sepatutnya ditanggung oleh pemilik.

“Pemilik hanya perlu mengeluarkan kos minimum satu pertiga, kira-kira RM4,000 bagi setiap lot masing-masing daripada kos sebenar yang melebihi RM12,000,” katanya memaklumkan baki 2,850 pemilik lagi akan menerima surat hak milik masing-masing secara berperingkat dan mengikut fasa.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427